Pengerusi NGO Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican dalam pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Nur Azman Taib berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk berkaitan dengan nasib para belia khususnya ketika era Pandemik COVID-19.

“Semua bidang dilihat tidak begitu banyak peluang bagi diceburi oleh para belia dan mereka perlu pandai menyesuaikan diri.

“Sama ada mereka yang terlibat dalam pembangunan sukan, pendidikan dan keusahawanan. Justeru, Kementerian Belia dan Sukan boleh dijadikan jambatan utama bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun sebagai Pusat Sumber Rujukan hala tuju belia.

Mustapha (kiri) bersama Dato Nur Azman Taib (kanan)

“Walaupun kementerian lebih kepada pembangunan sukan, saya memuji langkah turun padang oleh pegawai kementerian bagi mendekatkan dengan masyarakat,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Nur Azman Taib di pejabatnya, di Putrajaya.

Menurutnya, secara tidak langsung kementerian boleh mengenal pasti atlet muda yang berada di kampung yang turut berpeluang untuk sama-sama menyumbang kepada kepentingan sukan negara pada masa depan.

Mustapha berharap lebih ramai anak muda di pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak berpeluang dicungkil bakat dalam pelbagai bidang sukan pada masa depan.

Beliau berkata, menerusi langkah ini, kementerian dapat menjimatkan masa bagi melatih mereka yang sudah ada bakat dan kebolehan dlm bidang sukan mengikut minat serta pencapaian mereka.

“Dengan cara ini negara kita mampu melahirkan lebih ramai jaguh sukan sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.