Perodua telah menyumbang sembilan unit kenderaan kepada dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu IPD Hulu Selangor dan IPD KLIA sebagai tanda sokongan terhadap penguatkuasaan undang-undang di Selangor.

Sumbangan berkenaan yang merangkumi tujuh unit Perodua Ativa dan dua unit Perodua Aruz juga adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat Perodua.

“Kami menghargai peranan polis dalam menjaga keselamatan negara serta memuji pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu melancarkan usaha pihak polis untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Penyerahan kenderaan dibuat secara berperingkat bermula April lalu dengan tiga unit Perodua Ativa disumbangkan kepada IPD Hulu Selangor manakala baki enam unit kenderaan diserahkan dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Kubu Bharu pada 12 Oktober 2026.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Polis Selangor Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar yang menerima replika kunci daripada Dato’ Sri Zainal sebagai simbolik kepada kerjasama yang terjalin di antara keduadua pihak.

Perodua sudah menjalin kerjasama rapat dengan pihak polis, terutamanya di Selangor dan sejak 2019, syarikat kenderaan kompak itu telah menyumbang 21 unit kenderaan ke beberapa IPD di negeri ini.

Selain daripada sumbangan terbaharu ini, Perodua juga telah menyerahkan dua unit Bezza (pada 2019); empat unit Myvi (2022) serta enam unit kenderaan pelbagai model pada 2024.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini