Dahulunya hanya medan selera biasa kini telah berubah wajah dan nama iaitu Makan@Bumbung yang terletak di tingkat 4 Kompleks PKNS Shah Alam dengan konsep industrial dan terbuka terdiri daripada 10 gerai makan yang dijamin enak dengan harga berbaloi.
Makan@Bumbung telah beroperasi sejak awal Oktober dari jam 7.30 pagi hingga 6.30 petang dan apa yang lebih menarik, pemilik bangunan iaitu PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bakal membawakan aktiviti-aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan dewasa seperti futsal dan taman permainan tidak lama lagi.

“Penambahbaikan ini bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung yang datang ke Kompleks PKNS Shah Alam sekaligus dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga dan sahabat handai, ujar Fakru Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif PREC.
Pengunjung boleh menikmati pelbagai juadah makanan seperti ayam kunyit Tok Deng yang terkenal di Menara Worldwide Kuala Lumpur, mee sizling, tom yam Abe Power, lempeng dan kari ayam Mama, nasi campur, nasi ayam, bihun soto, laksa, mee rebus, serta banyak lagi yang pasti menghilangkan lapar dan dahaga.

Bagi yang mencari lokasi pengambaraan atau lebih dikenali ‘Instaworthy’, Makan@Bumbung adalah lokasi yang sesuai kerana pemandangannya yang menarik berhadapan dengan Tasik Shah Alam dan juga kelihatan bangunan-bangunan menarik sekitar Shah Alam seperti Masjid Biru yang juga bangunan ikonik di Shah Alam.
Bagi anda yang ingin berkunjung ke Makan@Bumbung, sila gunakan lif berdekatan McDonald ataupun KFC untuk ases mudah.





































