DATA8 Sdn Bhd, sebuah teknologi start-up berpengkalan di Kuala Lumpur, telah melancarkan cHEART (sebutan ‘sihat’), satu aplikasi yang dibina dengan teknologi blockchain bagi membolehkan data kesihatan disimpan dengan selamat dan memudahkan perkongsian data di antara doktor dan pesakit.

Poliklinik AmalMedik, satu rangkaian perkhidmatan kesihatan, menjadi klinik pertama di Malaysia menawarkan aplikasi ini kepada lebih 8,000 pesakit berdaftar di klinik tersebut.

Dibina menggunakan Hyperledger Fabric, satu sumber terbuka teknologi blockchain, cHEART membolehkan pengguna mengawal sepenuhnya data kesihatan mereka yang boleh diintegrasikan dengan peranti boleh pakai, rekod kesihatan elektronik (EMR) yang terdapat di hospital dan klinik, dan peranti berhubung kesihatan.

Projek perintis di AmalMedik yang bermula pada bulan Oktober 2019, akan membantu DATA8 mendapatkan maklumbalas daripada pengamal-pengamal kesihatan dan pengguna-pengguna aplikasi untuk tujuan penambahbaikkan platform cHEART sebelum ianya dilancarkan secara komersil.

“AmalMedik memang sentiasa mencari inisiatif baru untuk kami mengingkatkan tahap perkhidmatan, dan dengan adanya cHEART, kami berharap ianya dapat membantu pesakit mengurangkan masa menunggu kerana mereka boleh membuat temujanji terlebih dahulu.

“Dengan keizinan yang diberikan oleh pesakit untuk kami melihat data-data kesihatan mereka yang terdahulu, ianya dapat membantu kami memberikan diagnosis dengan lebih tepat dan cepat”, menurut Dr. Shafiz Mohd Zaini, rakan kongsi dan doktor perubatan di AmalMedik.

Di samping aplikasi pengguna dan EMR untuk pengamal perubatan, DATA8 juga akan membina versi khusus untuk syarikat-syarikat yang mahu mengoptimakan kos dan insuran perubatan. cHEART boleh mengenal pasti tahap kesihatan pekerja-pekerja syarikat dimana ianya boleh dijadikan panduan untuk pihak pengurusan menawarkan pakej kesihatan dan perubatan yang lebih bertepatan dengan tahap kesihatan pekerja mereka.

“Kami bangunkan cHEART supaya kita semua boleh mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih baik. Dengan menggunakan blockchain, cHEART turut menyelesaikan isu-isu berkaitan pengendalian data kesihatan seperti aspek keselamatan dan privasi.

“Kami berharap, dengan data-data kesihatan yang disimpan sendiri oleh pengguna-pengguna aplikasi cHEART, mereka boleh mendapat tahap perkhidmatan lebih baik tanpa membayar lebih daripada sepatutnya”, kata Rajifah Ramli, Pengasas & Ketua Eksekutif DATA8.

#iwantcheart kempen turut dilancarkan bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia memiliki dan menyimpan rekod kesihatan mereka sendiri. Mereka hanya perlu tag #iwantcheart di laman sosial dan namakan klinik dan hospital yang mereka harap akan menggunakan cHEART untuk memberi perkhidmatan lebih mesra pengguna.

cHEART boleh dimuat turun dari Google Play, dan akan datang Apple Store.