Pemaju perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) yakin bahawa sebuah bandar yang lestari harus meliputi segenap aspek di dalam meningkatkan kehidupan komuniti.

LBS melancarkan ‘Melodi Perdana’, pembangunan pangsapuri pertama di perbandaran Alam Perdana yang sedang berkembang pesat, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM562 juta.

Berasaskan tunjang utama LBS iaitu mampu milik, hubungan rangkaian dan komuniti, ‘Melodi Perdana’ direka dengan begitu teliti bagi memenuhi kehidupan yang selesa di pinggir bandar.

“Apa yang lebih penting, pembinaan unit-unit pangsapuri baru ini seiring dengan hasrat dan komitmen LBS untuk memajukan industri hartanah negara di samping memenuhi permintaan hartanah pada harga yang berpatutan.” kata Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San pada majlis pelancaran Melodi Perdana.

Lim berkata, perbandaran LBS Alam Perdana telah dan kekal menjadi tumpuan utama sejak kejayaan pelancaran sulungnya pada November 2017 di mana hampir kesemua unit fasa pertama, Simfoni Perdana, dan fasa kedua, Irama Perdana telah habis dijual dalam tempoh 24 bulan selepas dilancarkan.

“Berikutan dengan sambutan hangat yang diterima bagi dua fasa pertama, kami telah melancarkan fasa ketiga, ‘Rentak Perdana’, yang terdiri daripada 856 unit rumah teres dua tingkat bagi tempoh 12 bulan yang akan datang.

“Pelancaran fasa ketiga ini turut mendapat sambutan hangat di mana lebih dari 80% unit telah laris terjual. Kami percaya bahawa ‘Melodi Perdana’ akan mendapat sambutan dan akan menjadi salah satu daya tarikan di perbandaran ini,” katanya.

‘Melodi Perdana’ terdiri daripada empat blok pangsapuri dengan 1,520 unit yang ditawarkan pada harga bermula dari RM359,900 bagi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi berkeluasan 901 kaki persegi. Dengan harga yang menarik, unit-unit baru ini mensasarkan golongan pemilik rumah pertama, golongan professional dan mereka yang mengimpikan kediaman di persekitaran yang serba lengkap.

Bagi menggalakkan suasana mesra komuniti yang berlandaskan gaya hidup cergas, ‘Melodi Perdana’ turut menawarkan pelbagai prasarana yang serba lengkap seperti gimnasium, kolam renang, gelanggang badminton, futsal dan bola keranjang serta dek yoga dan balkoni yang dikelilingi suasana kehijauan.

Di samping itu, ‘Melodi Perdana’ turut menitikberatkan aspek keselamatan dengan konsep kediaman berpagar dan berpengawal bagi mewujudkan suasana harmoni dan persekitaran yang tenteram di kalangan penduduk.

Terletak di lokasi pinggir bandar yang sedang pesat membangun seperti Puncak Alam dan Sungai Buloh, ‘Melodi Perdana’ mempunyai rangkaian jalan raya yang sangat baik dengan akses ke Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya LATAR, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam. (dijadualkan siap pada tahun 2020).