Menepati sasaran untuk membuka 100 buah outlet tahun ini, 300 dalam tempoh 3 tahun

LOOB Holding Sdn Bhd, yang telah menjalinkan kerjasama dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB) pada bulan Mac yang lalu, kekal pada sasarannya untuk membuka 100 buah kedai Tealive di rangkaian Kedai Mesra PDB menjelang akhir tahun.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Bryan Loo berkata, “Apabila kami memulakan kerjasama ini pada bulan Mac yang lalu, objektif kami adalah jelas. Kami mahu membuka 300 buah kedai Tealive di stesen-stesen Petronas dalam tempoh tiga tahun.

“Pihak kami juga telah menetapkan sasaran sebanyak 100 buah outlet menjelang akhir tahun dan saya amat gembira serta bersyukur kerana kami telah berjaya membuka 50 buah kedai dalam jangkamasa kurang dari enam bulan.

“Seterusnya, saya juga yakin bahawa kami akan membuka 50 buah kedai lagi menjelang hujung tahun ini. Pujian harus saya berikan kepada pasukan Petronas di atas semangat dan sikap positif mereka dalam memastikan kejayaan kerjasama ini,” katanya.

Beliau juga yakin bahawa pencapaian kedai Tealive Petronas yang ke-300 boleh dikecapi dengan jayanya dalam tempoh tiga tahun seperti yang ditetapkan pada bulan Mac yang lalu.

Kerjasama yang dimeterai, disaksikan oleh Menteri Hal Ehwal Perdagangan dan Pengguna Domestik Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, pada Mac lalu menyaksikan pembukaan empat buah kedai pada bulan tersebut.

Mengulas mengenai kejayaan perkembangan tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Dato’ Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata, “Menerusi kerjasama ini, kami amat teruja untuk memberikan pilihan yang lebih popular serta menyegarkan kepada para pengguna kenderaan sebagai salah satu daripada komitmen kami untuk memberikan pengalaman pelanggan yang lancar.

Matlamat kami juga adalah untuk meningkatkan pengalaman runcit secara keseluruhan di stesen-stesen kami dan dengan pembaharuan ini, para pelanggan kami kini dapat mengisi minyak kenderaan dan menikmati minuman kegemaran mereka, semuanya di bawah satu bumbung.”

Loo menambah bahawa Tealive kini dapat menjangkaui masyarakat yang berada di pinggir bandar serta negeri-negeri lain di luar Lembah Klang, untuk memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pengguna dan memberikan peluang pekerjaan kepada para graduan baru serta golongan belia yang sedang menganggur.

“Ini juga sejajar dengan misi kami untuk membawa kegembiraan kepada pelanggan melalui teh dan bagaimana kami ingin memodenkan budaya teh, satu kejiranan, satu komuniti dan satu negara pada suatu masa,” kata Loo.

Kedai-kedai Tealive di stesen-stesen Petronas terdapat dalam pelbagai format, sama ada dalam bentuk kiosk di dalam Kedai Mesra ataupun kedai pandu lalu di beberapa stesen terpilih.

Sempena sambutan kedai Tealive Petronas ke-50 dan juga sambutan Hari Malaysia yang akan datang, Loo mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan set straw aluminium eksklusif pada harga RM1 setiap set kepada 200 pelanggan pertama setiap cawangan Tealive di Petronas, dengan sebarang pembelian minimum RM50 Petronas Primax atau barangan di Kedai Mesra berserta satu minuman Tealive, bermula dari 16 September, selagi stok masih ada.

Tawaran ini terhad kepada satu set bagi setiap pelanggan. Tealive ialah sebuah jenama teh gaya hidup terulung di Malaysia dengan pembukaan kedai setiap minggu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 322 buah kedai di serata Malaysia.

Ia juga turut mempunyai outlet di China, Vietnam, Brunei, Myanmar, Australia, dan di United Kingdom.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini