Lebih 5,400 hidangan bubur lambuk yang masih panas telah diagihkan kepada orang ramai yang berada di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru.
BAGI kebanyakan masyarakat, sudah menjadi tradisi untuk berbuka puasa bersama bubur lambuk dan bubur lambuk asli yang terkenal selalunya dikaitkan dengan Kampung Baru.

Baru-baru ini, sebanyak 30 periuk bubur lambuk tradisional yang kaya dengan pelbagai herba dan rempah telah disediakan oleh pihak masjid, sumbangan ikhlas dari pengusaha stesen minyak Petron Lembah Klang dan Selangor membabitkan 140 pengusaha stesen minyak Petron.
“Kami sangat teruja dapat berkongsi sumbangan kecil kami dalam menyebarkan kebaikan khususnya dalam bulan Ramadhan. Melalui inisiatif ini, pengusaha Petron diberi peluang untuk membuat kebaikan kepada komuniti yang berbilang kaum.
“Selain itu, program ini menawarkan pengalaman positif buat pengusaha-pengusaha. Kami berharap dapat meneruskan inisiatif ini sekali lagi dalam tahun-tahun yang akan datang bersama Masjid Jamek Kampung Baru yang begitu sinonim dengan tradisi bubur lambuk ini,” kata pengusaha Stesen Minyak Petron Jalan Datuk Keramat, Saiful Bahri Mohd Marzuki.
Para sukarelawan dari stesen Petron mula berkumpul di kawasan masjid pada awal pagi bagi membantu persiapan, pembungkusan dan pengagihan bubur lambuk.

Pengurus Jualan Runcit Petron Malaysia, Shaliza Mohd Sidek turut hadir bagi menyokong program ini dan pengagihan telah diadakan kepada orang ramai yang berada berhampiran masjid.
Persediaan untuk membuat bubur lambuk itu bermula selepas solat Subuh di masjid. Sumbangan 15 silinder seberat 14 kg LPG Petron Gasul, apron dan topi untuk penggunaan masjid dalam persiapan bubur lambuk, hidangan itu telah siap dimasak dan dibungkus.
Para pengusaha kemudiannya beratur di pintu masuk masjid untuk mula mengedarkan pek bubur lambuk yang mempunyai botol air mineral, kotak tisu, hasil sumbangan dari Petron.

Dalam beberapa minit selepas solat Asar, pengedaran bubur lambuk kepada orang ramai telah selesai dan tahun ini menandakan kerjasama yang ke-5 di antara pengusaha stesen minyak Petron dan Masjid Jamek Kampung Baru.
Bermula dengan permulaan yang sederhana pada 2015 dengan hanya 10 periuk, kini bilangan periuk telah meningkat kepada 30 periuk. Tahun ini, seramai 140 pengusaha stesen minyak Petron telah melibatkan diri.






































