Integrasi tanaman sampingan dan ternakan bagi melonjak pendapatan peneroka tidak menjejaskan kadar pengeluaran atau merencatkan pertumbuhan kelapa sawit.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim, berkata keberkesanan pendekatan yang turut dikenali ‘tanaman sulam’ dalam kalangan peneroka itu disokong kajian Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Katanya, kajian berkenaan mendapati penternakan kambing dan lembu dalam ladang kelapa sawit berupaya menambah pendapatan peneroka, sekali gus mengimbangi kesan penyusutan harga pasaran komoditi terbabit.

“Ikut kajian, penternakan 30 kambing dalam kawasan seluas 10 hektar boleh menjana pendapatan antara RM1,115 hingga RM2,500 manakala penternakan 100 induk lembu di kawasan 400 hektar berupaya menjana antara RM2,158 hingga RM2,540.

“Semua ini dibuktikan dalam kajian kendalian Unit Integrasi dan Ternakan MPOB,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan mekanisme tanaman dan penternakan integrasi di ladang sawit yang didakwa mendapat tentangan peneroka kerana menjejaskan pengeluaran serta pertumbuhan komoditi utama berkenaan.

Walaupun penjelasan lengkap dengan fakta dapatan kajian diutarakan, Ismail yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani tetap menyangkal keberkesanan pendekatan tanaman serta ternakan integrasi dikemukakan menteri berkenaan.

Dalam nada berjenaka, Kok berkata: “Bera (Ismail) perlu makan lebih minyak sawit merah supaya lebih cerdik dan awet muda,” sekali gus mengundang tawa dalam kalangan Ahli Parlimen.

Menjawab soalan tambahan Nur Azrina Surip (PH-Merbok) yang mengutarakan cadangan menanam cendawan sebagai produk integrasi, menteri itu berkata, mekanisme bagi menambah pendapatan peneroka adalah bersandarkan syor dikemukakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mengambil contoh tembikai sebagai tanaman integrasi, beliau berkata, ia dipilih kerana mempunyai nilai eksport tinggi, menjangkau RM95 juta pada tahun lalu.

“Pisang pula merekodkan nilai eksport RM33.9 juta, nanas RM27.8 juta dan betik RM30.9 juta. Justeru kita syorkan tanaman ini untuk disemai dalam ladang kelapa sawit.

“Kerajaan turut menyediakan peruntukan RM48 juta menerusi usaha integrasi tanaman dan ternakan untuk tempoh lima tahun,” katanya — BH ONLINE

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini