Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem “Lebah Madu di Malaysia” pada Selasa, 9 April 2019.
TIGA setem dengan nilai muka 60sen setiap satu dihasilkan untuk siri kali ini. Antara spesis lebah madu yang diketengahkan bagi siri ini adalah Lebah Tualang (Apis Dorsata), Lebah
Kampung (Apis Cerana) dan Lebah Kerdil Hitam (Apis Andreniformis).
“Kami mahu mendidik pengumpul setem serta orang ramai tentang kepentingan lebah madu dari sudut kepentingan ekonomi serta fungsinya dalam pendebungaan buah-buahan, sayur-sayuran dan biji-benih tanaman.
“Kita juga sedia maklum bahawa Malaysia merupakan pengeluar madu terbaik di rantau ini dan ini semuanya hasil daripada keluaran Lebah Kelulut di negara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.
Tambahnya, lebah mempunyai risiko kepupusan akibat permintaan yang tinggi terhadap madu lebah liar, lantas meningkatkan penuaian madu lebah secara berlebihan yang boleh menyebabkan kekurangan populasi lebah madu ini.
Justeru, siri setem ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pengumpul setem dan
orang ramai tentang kepentingan cara penuaian madu lebah yang betul serta pemuliharaannya.
Bagi siri ini, hanya 600,000 keping setem dihasilkan. Tiga lembaran setem (200,000 keping setiap reka bentuk) yang bernilai RM12.00 setiap satu dikeluarkan dan setiap lembaran mengandungi 20 keping setem. Untuk melengkapkan siri ini, Pos Malaysia turut menghasilkan 22,000 keping Lembaran Mini (MS) bentuk khas (die cut), yang menampilkan Ratu Lebah Kelulut dan lebah pejantan serta lebah pekerja (Heterotrigona Itama), dengan nilai muka RM4.00 setiap satu.
Cap tarikh khas bagi siri ini menampilkan lebah madu dan sarangnya. Produk filateli lain termasuklah 27,000 keping Sampul Hari Pertama (FDC) dengan risalah percuma dijual pada harga 50sen setiap satu, manakala 1,600 keping folder boleh didapati pada harga RM6.00 setiap satu. Set lengkap siri setem ini dijual pada harga RM52.80 setiap satu.
Terdahulu, Pos Malaysia mengeluarkan siri bertemakan serangga dan antaranya termasuklah Siri Serangga pada Julai 1991, Pepatung pada November 2000 serta Kelip-Kelip pada Mei 2010.
Set lengkap folder siri setem ini didatangkan bersama dengan lembaran setem, lembaran mini bentuk khas Ratu Lebah serta sampul hari pertama turut boleh dibeli menerusi www.eziemall.com atau kunjungi pejabat pos terdekat atau Galeri Setem di Tingkat Dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur.
Para pengumpul setem serta orang ramai digalakkan untuk membuka Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) kerana ia memberikan kemudahan kepada pengumpul setem untuk membeli setem keluaran baharu pada hari pertama dan produk filateli tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari jualan.
Individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos seluruh negara atau menerusi dalam talian di
www.posonline.com.my.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk setem dan filateli, sila hubungi Unit Setem
dan Filateli di talian 03-2267 2267 (sambungan 2000) atau e-melkan pertanyaan
kepada [email protected].