Perodua, yang mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarahnya, iaitu sebanyak 227,243 unit pada tahun 2018, mensasarkan peningkatan sebanyak 1.7% kepada 231,000 unit menjelang akhir 2019, disokong oleh model Myvi dan Aruz yang dilancarkan baru-baru ini.

PERODUA Myvi merupakan model terlaris Perodua pada 2018, dengan 82,122 unit didaftarkan daripada 117,844 tempahan. Dari pelancarannya pada November 2017 sehingga kini, lebih 91,500 Myvi telah didaftarkan daripada 147,000 tempahan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, model Axia, Bezza dan Alza kekal nombor satu dalam segmen masing-masing dengan 70,821, 49,911 dan 24,389 unit dijual pada 2018.

“Sasaran Perodua untuk meningkatkan jualannya sebanyak 4% tahun ini bukan sahaja akan mengukuhkan jenama kami tetapi akan membantu industri automotif Malaysia yang dijangka berkembang sedikit tahun ini,” katanya di majlis makan tengahari Tahun Baru Cina syarikat itu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangka peningkatan jumlah industri keseluruhan (TIV) sebanyak 0.21% kepada 600,000 unit tahun ini daripada 598,714 unit
tahun lalu.

Persatuan itu menjelaskan bahawa perkembangan tahun lepas disebabkan cuti cukai (tax holiday) yang berlangsung dari Jun hingga hujung Ogos, dan andainya tiada insentif baharu, pasaran dijangka kekal pada paras ini pada tahun 2019.

“Bagi Perodua, Myvi dijangka terus popular tahun ini, dan sejak kami memulakan tempahan untuk Aruz pada 3 Januari, kami telah menerima hampir 5,700 tempahan setakat ini.

“Memandangkan sasaran jualan kami 2,500 unit sebulan, angka ini sangat menggalakkan,” katanya.

Perodua juga menjangka untuk meningkatkan pembelian komponennya sebanyak 20% daripada RM5 bilion tahun lepas kepada RM6 bilion tahun ini. Ini adalah selaras dengan permintaan yang dijangkakan pada 2019 dan secara langsung akan memberi manfaat kepada pembekal automotif tempatan.

Menurutnya, sejumlah 219,000 unit kenderaan dikeluarkan daripada dua-dua kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd pada tahun 2018 dan syarikat tersebut mensasarkan peningkatan sebanyak 10.5% kepada 242,000 kenderaan pada 2019.

Dari sudut selepas jualan, Perodua memecahkan banyak rekod dalaman daripada segi pengambilan servis (2018 2.17 juta pengambilan berbanding 2017 2.1 juta pengambilan naik 3%) dan jualan alat ganti dan aksesori (2018 RM320.8 juta berbanding 2017 RM288.5 juta – naik 11%).

Perniagaan Badan & Cat (B&P) dan Kenderaan Pra-Milik (POV) juga menyaksikan perkembangan yang menggalakkan.

“Selepas jualan adalah aspek yang sangat penting kepada kami kerana ia menyokong
kami dalam pasaran yang berdaya saing ini. Kami akan menaiktaraf kepuasan pelanggan kami untuk mengukuhkan lagi jenama kami di negara ini.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan
padu anda selama ini dan kami akan terus berusaha keras untuk memenuhi keperluan
dan kehendak anda,” katanya lagi.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini