Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, menyambut baik penerbitan Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital di bawah Akta Persaingan 2010 oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), yang menyediakan penilaian berasaskan bukti terhadap dinamik persaingan merentas subsektor digital utama, termasuk pasaran runcit e-dagang dan platform digital.

Hasil kajian tersebut mengesahkan beberapa kebimbangan struktur jangka panjang yang telah sekian lama dibangkitkan oleh Pos Malaysia, khususnya berhubung konsentrasi pasaran, dominasi platform, integrasi menegak, serta amalan yang mengehadkan persaingan berkesan dan pilihan pengguna—termasuk penyamaran pilihan penghantaran (delivery masking) dalam platform e–dagang.

Persaingan, Pilihan Pengguna dan Neutraliti Kurier MyCC melaporkan bahawa platform e-dagang utama di Malaysia secara kolektif menguasai bahagian ketara dalam aktiviti pasaran dan mempengaruhi pasaran perkhidmatan hiliran melalui amalan operasi, termasuk penyamaran pilihan kurier serta keutamaan kendiri (selfpreferencing-preferencing) melalui cabang logistik yang berintegrasi menegak.

Dari perspektif Pos Malaysia, keupayaan pengguna dan penjual untuk memilih penyedia kurier pilihan mereka merupakan prinsip teras bagi persaingan yang adil.

Amalan yang mengehadkan atau menyingkirkan pilihan kurier secara algoritma berisiko memesongkan pasaran, mengukuhkan dominasi platform, serta melemahkan daya ketahanan jangka panjang ekosistem logistik domestik Malaysia.

Pos Malaysia kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan pembuat dasar, pengawal selia dan pihak berkepentingan industri bagi menyokong pembaharuan yang mengukuhkan ekonomi negara di samping memastikan persaingan adil, kebajikan pengguna dan kelestarian perkhidmatan.

“Dasar persaingan pada akhirnya mesti memberi manfaat kepada pengguna,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini