NetApp Malaysia Sdn Bhd hari ini mengumumkan strategi platform data baharu yang bertujuan membantu perusahaan memindahkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) daripada projek perintis kepada pelaksanaan berskala besar, ketika rantau ini mempercepatkan pelaburan dalam AI dan infrastruktur data.
Strategi tersebut memberi tumpuan kepada membolehkan organisasi menjalankan beban kerja AI secara selamat, selaras dengan peraturan tempatan dan pada kos yang mampan merentasi persekitaran hibrid serta on-premise, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
NetApp berkata ASEAN kini menghampiri satu fasa di mana perbelanjaan AI berkembang lebih pantas berbanding pelaburan digital keseluruhan, dengan kadar penggunaan dijangka menambah hampir AS$1 trilion kepada KDNK rantau ini menjelang 2030.
Namun begitu, banyak perusahaan kini bergelut dengan cara untuk meningkatkan skala AI tanpa menjejaskan tadbir urus data, keselamatan dan kestabilan operasi.
“2026 sedang membentuk sebagai tahun AI pengeluaran untuk ASEAN, namun perniagaan berdepan persekitaran yang kompleks, risiko keselamatan dan keperluan kedaulatan data,” kata Naib Presiden Kawasan dan Pengurus Besar NetApp bagi ASEAN, Greater China dan Korea Selatan, Henry Kho.
Pendekatan syarikat itu berteraskan platform datanya, yang menggabungkan storan, perkhidmatan pengurusan data dan enjin metadata bagi menyokong beban kerja AI merentasi pelbagai persekitaran serta membantu organisasi menyediakan dan mengurus data untuk kegunaan pengeluaran.
Sebagai sebahagian daripada strategi tersebut, NetApp memperkenalkan sistem baharu termasuk platform NetApp AFX untuk beban kerja AI berprestasi tinggi serta NetApp AI Data Engine, yang dibina berasaskan reka bentuk NVIDIA AI Data Platform, bagi memudahkan penyediaan data dan memastikan data sentiasa dikemas kini untuk aplikasi AI.
NetApp turut menekankan keupayaan daya tahan terhadap perisian tebusan, dengan meletakkan perlindungan dan pemulihan data sebagai komponen teras infrastruktur AI perusahaan, khususnya bagi sektor yang dikawal selia seperti perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan sektor awam.
NetApp berkata sistemnya kini telah digunakan dalam sektor awam.
Kenyataan itu turut memetik Timbalan Pengarah Jabatan Digital Negara, Izheir Azam bin Ibrahim Rais, yang berkata bahawa platform storan NetApp menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan digital di samping memperkukuh daya tahan siber merentasi agensi.







































