Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung UMT, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, ibadah korban di pedalaman Kemboja dibuat secara sederhana kerana kekurangan bantuan pada tahun ini.
Beliau berkata, ini mungkin disebabkan masalah ekonomi dunia semasa menyebabkan masyarakat dari negara luar kekurangan dana untuk melakukan ibadah korban.
“Walaubagaimanapun NGO Antarabangsa akan terus berusaha untuk melaksanakan ibadah ini selagi mana yang mampu.
“Tahun ini, kami menerima sumbangan bawah daripada 10 ekor lembu. Alhamdulilah ini
yang mampu kita perolehi dan kita akan menghantar daging-daging ini di kawasan penempatan miskin daif,” katanya.
Beliau berkata, jika dahulu daging dibahagi di kawasan tempat disembelih tetapi tahun ini NGO Antarabangsa bercadang untuk menghantar daging korban terus kepada fakir miskin di pedalaman Kemboja.
Katanya, menerusi kaedah ini, pihaknya boleh mengetahui penerima sebenar dikalangan mereka yang benar-benar daif.
Mustapha berkata, bukan banyak atau sikit lembu-lembu yang dikorbankan tetapi sasaran adalah mereka yang miskin daif dan mereka yang sepatutnya menerimanya.
“Lembu-lembu yang hendak dibuat ibadah korban mestilah terbaik. Cukup umur dan mengikut hukum yang ditetapkan,” katanya.