Nestlé Malaysia telah meluaskan inisiatif penanaman semula hutan Projek RELeaf baru-
baru ini untuk mendidik dan memupuk nilai-nilai lestari dalam kalangan murid-murid sekolah.
Usaha ini mencerminkan komitmen kukuh syarikat kepada penjagaan alam sekitar dan
usaha membangunkan generasi akan datang. Di majlis pelancaran Program Pendidikan
RELeaf pertama di SK Abaka, Tawau, Sabah, lebih 100 murid dan guru telah berganding
bahu dengan sukarelawan Nestlé Cares untuk menanam pokok dan menyertai aktiviti
interaktif lain.
Berkat sokongan rakan-rakan kerjasama seperti Yayasan Sime Darby, SD Guthrie Berhad dan Pusat Pemuliharaan & Penyelidikan Hutan Hujan Tropika, program ini melibatkan murid-murid prasekolah dan sekolah rendah menanam spesies pokok asli di kawasan sekolah, termasuk pokok Ketapang, Jambu Air, Taisai Paya, Simpur, Sentang dan Obah Jangkang.
Spesies pokok dipilih khas untuk meningkatkan kepelbagaian biologi dan mewujudkan keseimbangan ekologi, sambil menghijaukan kawasan sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, “Kami komited untuk
membina masa depan yang lestari demi manfaat insan sejagat dan bumi kita. Sebagai
sebahagian daripada strategi Positif Hutan yang dizahirkan menerusi Projek RELeaf, dan
program pendahulunya Projek Rileaf, kami sudah menanam 3 juta pokok setakat ini.
Pencapaian ini sesungguhnya menunjukkan kemajuan positif ke arah matlamat kami
menanam 4 juta pokok di seluruh Malaysia menjelang suku kedua atau ketiga 2025, dan
juga sokongan berterusan kami kepada kempen kebangsaan ‘Penghijauan Malaysia’,
dengan sasaran menanam 100 juta pokok.”
“Dengan memperluas program untuk meliputi murid-murid menerusi Program Pendidikan RELeaf, kami ingin mendorong mereka untuk menjadi penjaga alam sekitar generasi baharu dalam usaha melindungi ekosistem berharga Malaysia.
“Inisiatif ini mencerminkan keyakinan kami dalam kuasa kerjasama. Di samping itu, pendidikan generasi muda menjadi kunci kepada usaha menyelesaikan cabaran-cabaran utama seperti penebangan hutan, perubahan iklim dan kehilangan kepelbagaian biologi,” katanya.