Astro, syarikat kandungan dan hiburan terkemuka Malaysia, dengan sukacita memaklumkan kejayaan penutupan Rimba Kita Run tahunan kedua.

Acara ini diadakan pada hari Sabtu, 23 November 2024, di Taman Wetlands Putrajaya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim. Ianya menyaksikan kehadiran lebih daripada 1,200 peserta berkumpul bagi menyokong usaha pemulihan alam sekitar dan mempromosi kehidupan lestari.

Selaras dengan komitmen kami bersuara untuk kebaikan ataupun ‘voice for good’, Astro merekodkan bahawa Rimba Kita Run 2024 berjaya mengumpul dana melebihi dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Dana ini akan disalur kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di bawah inisiatif Rimba Kita. Dana tersebut menyokong kerjasama berterusan dengan organisasi seperti Worldwide Fund for Nature (WWF) Malaysia, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Taman Tugu, dan Global Environment Centre.

Tahun ini, acara ini berjaya dilaksanakan dengan sokongan padu dari barisan penaja utama: Kaon, Alphabet Capital, dan Huawei Cloud. Juga termasuk penaja lain seperti Salad Atelier, Love Nature, Asics, dan Snappymob. Acara ini turut disokong dengan kehadiran Bulan Sabit Merah Malaysia (MRC), Persatuan Orang Buta Malaysia, Teach For Malaysia (TFM), ISSF Sport Stacking Malaysia, Cenviro, dan Decathlon.

Pelbagai aktiviti dan pembelajaran menarik disediakan dalam acara mesra keluarga ini, termasuk aktiviti memanaskan badan secara berkumpulan diiringi oleh Didi & Friends dari Astro Ceria, serta Tong Tong & Doo Doo dari DT Jamboree Astro Xiao Tai Yang.

Juga persembahan oleh Idris Brown dan Dinda Dania dengan penampilan istimewa oleh Oga, karya terbaru Astro yang mempromosi kesedaran alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Daryl Smith berkata, Rimba Kita Run membuktikan kekuatan bertindak komuniti dengan penyertaan lebih 1,200 peserta, bukan sahaja berjaya mengumpul dana dalam usaha pemuliharaan hutan tetapi juga berjaya meningkatkan kesedaran tentang peri pentingnya melindungi alam semula jadi.

“Acara ini membuktikan bahawa sesuatu itu boleh dicapai sekiranya kita bersatu pada tujuan yang sama.

“Acara larian tahun ini telah mengambil langkah-langkah penting dalam meminimumkan kesan terus kepada alam sekitar. Astro menggalakkan para peserta mengitar semula baju larian mereka dalam usaha mengurangkan keperluan untuk cetakan baru.

“Susunan acara menampilkan bahan yang dikitar semula, membuktikan dedikasi Astro terhadap kelestarian alam. Astro mengutamakan penggunaan peralatan biodegradasi dan bahan boleh guna semula untuk mengurangkan sisa plastik, di samping semua turutan aktiviti dan gerai karnival menyampaikan mesej dan pendidikan tentang alam sekitar yang menyeronokkan,” katanya.

Selain itu, pengurusan sisa yang menyeluruh dan aktiviti kitar semula telah dilaksanakan secara terus bagi menguruskan sisa yang dihasilkan.

Selaras dengan komitmen Astro, pengiraan jumlah pelepasan gas rumah kaca (GHG) dari acara ini turut dicatat. Data ini akan digunakan sebagai rujukan bagi acara- acara akan datang, untuk menjejaki dan terus meningkatkan reka bentuk kelestarian di masa hadapan. Inisiatif ini mencerminkan dedikasi Astro terhadap masa depan yang lebih hijau dan lestari.

Sebagai usaha berterusan, Astro komited untuk masa depan yang lebih hijau dengan penyusunan dan penyiaran kandungan berkait alam sekitar yang berterusan, penajaan pokok dan penanaman pokok berkala secara sukarela.

Astro merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta, penaja, rakan kongsi, penyokong serta rakan-rakan media dari pelbagai agensi yang sama menjayakan Rimba Kita Run 2024. Harapan Astro agar kita bersama mengorak langkah ke masa depan yang lebih lestari dan peduli alam sekitar.

Sertailah Astro untuk melindungi bumi kita! Samada dalam acara larian, penanaman pokok, pemulihan alam sekitar, atau penglibatan akar umbi komuniti, anda sentiasa ada cara untuk melibatkan diri dalam menyokong Rimba Kita serta melindungi hutan hujan tropika Malaysia yang merupakan antara yang tertua di dunia, berusia lebih daripada 130 juta tahun.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini