Pada pandangan mata kasar, peranti ini seakan biasa-biasa sahaja kerana harga ditawarkan boleh dianggap mampu milik namun selepas diuji secara lebih mendalam mendapati peranti ini memiliki beberapa ciri premium.
Antara ciri paling menonjol boleh dianggap premium ialah ciri AI Erase yang boleh memilih untuk memadamkan mana-mana gambar yang anda telah rakam dengan hanya satu jari sahaja.
Kebiasaannya ciri AI Erase dipadankan dengan telefon pintar yang berharga hampir RM2,000 namun vivo bertindak berani memperkenalkan ciri pintar ini pada peranti terbaharunya.
Ciri lain ialah kalis air dan debu IP64 serta kapasiti bateri yang cukup besar 5000 mAh dengan jangka hayat baik selama 4 tahun selain kuasa mengecas pantas 80W yang mampu mencapai tahap pengecasan 45 peratus dalam tempoh 15 minit.

Rekaan
Rekabentuk peranti ini rata 163.2 x 75.9 x 7.9 mm dengan skrin Amoled bersaiz 6.67 inci dan tahap resolusi 2400 x 1080. Rekaan badan belakang pula dipadankan dengan bahan yang kesat sekali gus tidak meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.
Selain rekaan luaran lebih segar dan spesifikasi lebih terkini, kemampuan kuasa bateri 5,000 mAh memberikan kelebihan kepada mereka yang sering menjadikan telefon pintar sebagai kamera peribadi atau mereka yang aktif di media sosial.
Sistem rekaan dua-kamera tanpa bonggol yang tidak terlalu besar menjadikan peranti ini kelihatan lebih kemas dengan mengetengahkan rekaan lampu Aura Light yang lebih menarik menjadikan peranti ini nampak ringkas ditambah dengan dibalut binaan kekemasan glastik dan bingkai logam pada bahagian sisi.

Ciri Kamera
vivo V40 Lite dilengkapi ciri dua-kamera belakang gabungan kamera utama 50 megapiksel (f/1.8) – (lebar); 8MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar) dan kamera hadapan 32MP (f/2.45).
Kamera utamanya dipadankan dengan zoom digital sehingga 10 kali ganda dan tidak kira siang atau malam, peranti ini menawarkan pakej kamera yang lebih baik sekali gus menghasilkan imej yang menakjubkan dengan kualiti yang dipertingkatkan meliputi mod malam dan ciri potret.
Menerusi sensor yang dipertingkatkan, mengambil gambar dalam suasana pencahayaan malap, mod Malam membantu merakam visual yang lebih terperinci dengan memperluaskan saiz piksel kamera.
Penulis sempat menguji peranti ini dengan merakam gambar bulan penuh menggunakan mod malam dan hasilnya menakjubkan. Lihat gambar dibawah.

Buat julung kalinya, untuk peranti vivo terbaharu ini, pengguna juga boleh menghapuskan bayang-bayang dan pantulan yang tidak diingini dalam rakaman dengan menggunakan alat penyunting imej (object Eraser) yang dipertingkatkan. Lihat gambar di atas apabila salah satu imej bot dipadamkan.
Sama ada untuk rakaman swafoto yang sempurna atau bersambung melalui panggilan video yang tersangat lancar, vivo V40 Lite menawarkan perincian visual yang menakjubkan menerusi kamera hadapan 32MP.

Spesifikasi
Peranti seberat 188 gram ini hadir menggunakan cip pemprosesan 2.2 GHz Snapdragon 4 Generasi 2 Mobile platform Octa-core dan kadar segar semula 120 Hz.
Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan RAM 12 GB (tambahan 12GB) dengan versi Android 14.
Selain itu, peranti ini dilengkapi ciri sensor keselamatan cap jari dan pilihan pengesanan wajah atau kaedah corak lerekan.
vivo turut memberi nilai tambah pada peranti ini menerusi penarafan kalis air dan debu IP64 terbina.

Harga pasaran
vivo V40 Lite 5G yang baru diperkenalkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,299 dalam tiga warna menarik iaitu Titatnium Silver, Dynamic Black dan Dreamy Violet.
Kesimpulan
Apa yang menarik pada peranti ini bukan sahaja rekaan yang mudah dipegang tetapi penambahbaikan terkini dalam ciri gambar yang dihasilkan berbanding model vivo terdahulu.
Selain itu, anda boleh memadamkan mana-mana objek dalam gambar yang dirakam tanpa meninggalkan kesan sekali gus menjadikan gambar anda lebih cantik.

Peranti ini menjadi pilihan terbaik kepada anda yang amat bergantung kepada sebuah telefon bimbit yang menyimpan pelbagai data dan aplikasi untuk bekerja atau kegunaan harian seperti aplikasi pesanan makanan, tempahan kenderaan mahupun untuk urusan perbankan yang memerlukan sebuah peranti yang tahan lasak dan responsif.
Selain ciri-ciri yang sedia ada, vivo adalah peranti yang sesuai untuk golongan remaja dan dewasa kerana dilengkapi dengan kuasa AI yang banyak membantu pengguna untuk urusan harian.


























































