Celestica Inc., peneraju global dalam infrastruktur pusat data dan penyelesaian teknologi termaju, sedang memperluas Pusat Reka Bentuk Hardware Platform Solutions (HPS) di Pulau Pinang, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia dalam pembangunan infrastruktur pusat data generasi akan datang untuk hyperscaler global.

Ditubuhkan pada 2023, kemudahan pembuatan seluas 50,000 kaki persegi di Bayan Lepas ini telah berkembang kepada pasukan seramai 210 pekerja yang tertumpu kepada kejuruteraan perkakasan dan perisian.

Pusat ini menyediakan penyelesaian dari hujung ke hujung yang merangkumi seni bina elektrik dan sistem berkelajuan tinggi, integriti isyarat termaju, penyaluran kuasa, kejuruteraan mekanikal dan terma, perisian terbenam, integrasi sistem, serta pengesahan dan pengesahihan produk.

Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur AI dan pengkomputeran awan, Celestica merancang untuk mengupah lebih ramai jurutera di Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada bakat tempatan untuk menyumbang secara langsung kepada program teknologi global yang kompleks.

Pada tahun 2025, Celestica telah menjana sebanyak AS$12.39 bilion dalam hasil. Perniagaan Hardware Platform Solutions telah menyumbang lebih 40% daripada jumlah hasil tersebut.
Organisasi kejuruteraan globalnya sedang mengendalikan lebih 50 program merentasi pelbagai pelanggan hyperscale.

Menurut Dell’Oro Group, Celestica menduduki tempat #1 dalam syer pasaran global bagi suis back-end Ethernet AI pada suku pertama dan suku kedua 2026.

Memacu Inovasi Pusat Data Global dari Malaysia
Celestica HPS Pulau Pinang mereka bentuk teknologi termaju, termasuk suis 1.6 terabit sesaat (1.6T), dan menghimpunkan kepakaran dalam sambungan berkelajuan tinggi, integriti isyarat, kuasa dan penyejukan — keupayaan yang kritikal bagi beban kerja AI yang semakin mencabar. Pusat ini juga telah memperoleh 18 paten Amerika Syarikat pada 2026.

“Kerja kami di Malaysia bukan sekadar menyokong projek yang dibangunkan di tempat lain. Pasukan kami di Malaysia mempunyai keupayaan menyeluruh, daripada pembangunan konsep seni bina sistem hingga ke pengeluaran besar-besaran,” kata Marwan Naboulsi, Naib Presiden, Hardware Solutions, Celestica.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini