Terdedah kepada tahap bunyi 100 dB (desibel) untuk beberapa minit sehari mampu menyebabkan tahap pendengaran terjejas. Adalah dinasihatkan untuk mengehadkan pendedahan kepada bunyi yang kuat ini dikurangkan kira-kira 20 minit seminggu.
Ini adalah notis ringkas yang tertulis pada paparan skrin jam pintar terbaharu vivo Watch 3 yang diuji ini. Beberapa notis ringkas lain juga dipadankan dan ini adalah kelebihan yang ada pada peranti ini yang mampu mengesan tahap bunyi bising di sekeliling apabila dipakai terus.
Antara ciri menarik yang ditawarkan pada peranti jam pintar ini bukan sahaja memfokuskan kepada beberapa ciri atau aktiviti sukan tetapi juga kepada aspek yang lain termasuk pengenalan ciri kompas siap bina yang boleh berfungsi di mana-mana sahaja.
Selain boleh berfungsi sebagai peranti untuk menjawab panggilan telefon atau membaca pesanan whatsApp ditangan, jam tangan ini juga boleh dilengkapi ciri pembayaran pintar menggunakan kad akses NFC (Near Field Communication) seperti kad debit atau kad pembayaran tanpa tunai.
Dipadankan dengan sistem operasi BlueOS yang merupakan sistem operasi tersendiri vivo, peranti ini diperkenalkan dalam satu saiz iaitu 46mm dengan dua pilihan rekaan bersama tali jenis silikon lembut atau kulit.
Peranti yang diuji Prebiu.com dilengkapi tali silikon hitam dengan badannya juga berwarna sama nampak awesome apabila memakainya malah tidak terasa beban disebabkan beratnya hanya 36 gram.
Rekaan luaran
vivo Watch 3 dilengkapi skrin 1.43 inci dengan resolusi 466 x 466 dan ciri Always-On-Display. Paparan skrin besar ini memberikan satu kelebihan kepada pemakai yang mahu kelihatan menonjol dan sentiasa bergaya tidak kira untuk kegunaan harian atau bersantai pada hujung minggu.
Paparan skrin peranti ini jenis AMOLED memaparkan imej yang sangat cantik, mampu memberikan semua maklumat yang diperlukan tanpa piksel yang terkeluar malah imej dipaparkan amat jelas ketika navigasi antaramuka digunakan.
Skrin AMOLED memang sudah diketahui umum terbaik di pasaran. Warnanya nampak hidup dan jelas, setiap sentuhan pada paparan skrin berfungsi dengan baik dan penggunaan di bawah matahari terik juga tidak mendatangkan sebarang masalah.
Pada sisi kanan atas, peranti ini dipadankan dengan tombol berputar bagi tujuan melakukan navigasi aplikasi dan satu butang kecil kedua dibawahnya.
Anda juga boleh menetapkan tahap kecerahan cahaya pada skrin jam ini secara manual mahupun secara automatik.
Tombol berputar aluminium ini memberi anda akses kepada ciri-ciri jam yang lebih lengkap manakala butang di bawahnya adalah pintasan kepada akses pilihan jenis aktiviti kecergasan yang mahu dipilih.
Rekaan badan peranti ini dengan ketebalan 46.1 X 46.1 X 11.3mm juga kukuh dengan kerangka utama diperbuat daripada aloi aluminium sementara paparan skrin dilindungi dengan bahan dari jenis Schott Up.
Malah skrin bulatnya cukup menarik dan jika jam ini terjatuh ke dalam air atau dipakai ketika hujan lebat, anda tidak perlu risau kerana ia boleh bertahan hingga 50 meter (5 ATM) kedalaman air.
vivo Watch 3 ini tampil dengan dua pilihan tali; anda boleh memilih tali kulit Moonlight White yang sangat selesa atau tali sukan silikon Asteroid Black. Terdapat butang pelepas cepat di bahagian bawah casing yang membolehkan anda menukar tali jika perlu, atau jika anda ingin bertukar kepada reka bentuk lain di masa hadapan.
Pelbagai Ciri Sensor
Jam ini dilengkapi sensor terbina Star Ring Health Monitoring Sensor dengan gabungan teknologi analisis kadar jantung berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk kemampuan menjejak dan merekodkan data dengan lebih baik.
Apa yang menarik ialah ciri sensor ini dipadankan dengan 8 saluran untuk pemantauan denyutan jantung 24 jam sehari dan 16 saluran untuk oksigen darah, susun atur multi-saluran ini memberikan pemantauan kesihatan yang tepat dan menyeluruh. Ia juga mampu memantau tekanan, tahap ketepuan, pernafasan, tidur, dan banyak lagi.
Isyarat PPG diproses oleh Algoritma Pemantauan Denyut Jantung yang Inovatif, yang mempunyai kebolehan pemantauan yang cemerlang. Peranti ini secara tepat menjejaki data anda, sama ada dalam penggunaan harian atau semasa senaman.
Selain itu, jam ini mempunyai pilihan lebih 100 mod sukan yang berbeza dan tidak terhad kepada aktiviti berjalan, berlari, berbasikal, berenang, badminton dan banyak lagi.
Untuk pilihan akses aktiviti sukan, anda boleh memilih mengikut abjad yang dipaparkan daripada huruf A hingga Y, misalnya Archery, Ballet, Baseball, Billiards, Drifting hingga kepada Yoga. Banyak bukan!
Jika ada sentiasa berhadapan dengan tekanan, peranti ini boleh mengesan sama ada berada dalam tekanan atau stress yang sederhana hingga tinggi.Tekan sahaja butang pengesanan stress dan keputusan akan terus diperolehi dalam beberapa saat.
Malah ia juga mampu memaparkan pola tidur lengkap dengan pengesanan dengkur bagi menyukat kualiti tidur anda sama ada tidur yang berkualiti atau tidak.
Kustomasi muka jam juga boleh dilakukan dengan mudah khususnya apabila mahu menukar warna latar belakang, paparan digital, reka huruf dan apakah data yang ingin dipaparkan.
Paparan imej pada muka jam juga cukup menarik dan kelihatan benar-benar hidup serta bergerak dalam pelbagai gaya yang mengasyikkan.
Satu lagi kelebihan memiliki jam pintar ini ialah anda boleh menukar wajah jam digital ini setiap hari samada digital atau analog, menukar warna latar belakang mengikut mood anda. Kesemua ini boleh dilakukan menerusi aplikasi Honor Health.
Bateri
Peranti ini dilengkapi bateri berkapasiti 505 mAh dengan cas penuh hanya kurang dari dua jam dan cukup menarik mampu bertahan sehingga 16 hari untuk kegunaan biasa dan bergantung kepada tahap penggunaan.
Sekiranya peranti ini disambungkan dengan telefon pintar dan digunakan secara aktif menjawab panggilan telefon atau membaca whatsApp mungkin jangka hayat bateri ini akan menurun. Ini adalah situasi biasa bagi mana-mana jam pintar di pasaran mengikut jenis penggunaan pemakainya.
Penggunaan bateri pada peranti ini boleh dianggap berbaloi dengan saiz yang sederhana besar ini malah memberikan pengalaman menyeronokkan ketika melayari menu dengan lancar.
Fungsi lain, seperti kawalan muzik boleh dilakukan terus pada peranti kepada telefon yang sudah disambungkan dengan Bluetooth 5.2 dengan sokongan BLE/BT. Anda boleh menambah koleksi muzik pada jam ini tanpa risau kerana kapasiti RAM 64MB dan ROM 4GB sudah dianggap memadai.
Harga
vivo Watch 3 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu White Leather dan Black Sport dengan harga RM899 (Sport) dan RM999 (Leather).
Kesimpulan
Secara peribadi, jam pintar terbaharu vivo ini memiliki banyak ciri baharu yang mampu melengkapi pengguna masa kini yang bukan sahaja mementingkan kesihatan malah tampil bergaya.
Peranti bercirikan premium ini amat sesuai digunakan setiap hari dan saiz paparan yang besar memberi kelebihan kepada mereka yang aktif bersukan kerana ia mudah dilihat tidak kira pada waktu siang atau malam.
Jam pintar ini juga bertindak responsif dengan sebarang pergerakan khususnya apabila sesuatu aplikasi diaktifkan misalnya ketika mengesan tahap bunyi sekeliling selain ketika digunakan melakukan aktiviti sukan.
Bagaimanapun, dengan segala ciri yang dipadankan, harga berkenaan dianggap berbaloi bagi mereka yang benar-benar menghargai jam tangan pintar atau kepada mereka yang sedang mencari-cari jam pintar ditawarkan pada harga dibawah RM1,000.