Walaupun siri jelajah konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ sudah berakhir, ratu rock negara, Ella bakal mengadakan sebuah konsert yang lebih istimewa ‘JILID ROCKESTRA ELLA: ROCKERS JUGA MANUSIA’ pada 9 Ogos 2024 nanti, bertempat di Plenary Hall, KLCC.

Penganjur Hitman Solutions dan RockQueen, yang kembali bekerjasama sekali lagi, bersedia untuk berkongsi segalanya dalam satu sidang media eksklusif bersama rakan-rakan media di Restoran Rumah Nusantara, Sunway Putra Hotel baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, bekerjasama dengan Ella dan pasukan RockQueen adalah satu pengalaman yang amat mengagumkan.

“Setelah menganjurkan 4 buah konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ tahun lepas, kami masih menerima permintaan yang tinggi dari peminat-peminat Ella untuk menyaksikan Ella beraksi sekali lagi di atas pentas. Oleh itu, sebagai tanda penghargaan kami mengambil keputusan untuk berkolaborasi sekali lagi demi mencipta satu lagi konsert yang istimewa buat peminat setia Ella.

“Untuk satu malam sahaja, Ratu Rock Malaysia akan mempersembahkan gabungan yang unik – getaran rockernya dengan elemen band dan orkestra. Kami tidak sabar untuk berkongsi konsert ini dengan semua,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Nor Zila Aminuddin yang lebih mesra sebagai Ella berkata, kali terakhir beliau mengadakan konsert dalam genre orkestra adalah pada tahun 2017 lalu.

“Saya gabungkan dua perkara yang saya sayangkan, sebuah persembahan yang lebih intim dan meluangkan masa bersama peminat-peminat tersayang.

“JILID ROCKESTRA ELLA kali ini adalah peluang untuk saya terokai gabungan muzik dari album-album saya yang dipersembahkan dalam bentuk yang cukup istimewa iaitu orkestra,” katanya.

Jelas Ella lagi, perbezaan konsert yang diadakan sebelum ini dengan JILID ROCKESTRA ELLA, ia adalah gabungan antara genre rock dengan 15 orang pemain muzik orkestra profesional.

“Konsert sebelum ini menceritakan tentang perjalanan seni dan kisah 35 tahun kerjaya saya, yang merupakan representasi lengkap diskografi saya sebagai penyanyi rock.

“Selain gabungan rock dan orkestra, konsert kali ini memberi kami peluang mempersembahkan kreativiti kami dalam berkarya dengan penambahan lagu-lagu hits yang belum sempat dimainkan, dan masih di bawah pimpinan pengarah muzik iaitu Dato’ Hashridz Murshim Hassim (Dato’ Acis),” katanya.

Sebagai seorang anak seni yang prihatin, Ella masih mengekalkan solidaritinya terhadap Palestin dan akan terus bersuara demi manusiawi sepanjang berlangsungnya konsert nanti.

“Konsep konsert masih lagi dalam perbincangan namun secara keseluruhannya adalah rapi, daripada segi elemen muzik, set pentas, fesyen ‘glam rock’ dan semuanya akan kami ambil kira, namun secara keseluruhannya boleh saya rangkumkan dalam satu ayat, ‘rockchic rockestra’.

“Saya jangkakan durasi konsert akan berlangsung sekitar 2 jam 30 minit dengan 25 buah lagu yang bakal dipersembahkan, tidak termasuk dengan rangkain lagu-lagu medley yang telah kami gubah demi memenuhi permintaan perminat. Apa yang pasti, ketika konsert nanti pasti ada kejutan dengan artis jemputan yang istimewa.

“Selain artis jemputan, akan ada segmen khas dimana saya akan mendendangkan beberapa buah lagu asli diiringi tarian buat penonton yang hadir. Saya tidak mahu kongsi selebihnya kerana malam tersebut bakal menjadi spektakular, harapan saya semoga konsert ini bakal menjadi kenangan indah buat semua yang hadir, dengarkan muzik saya dengan sajian audio visual dan pengalaman luar biasa untuk dikenang.

“Dan ’semoga kita kan jadi seperti dua insan, bercintaaa……Peace. Love. Rindu.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini