Berbaki beberapa hari lagi sebelum berakhirnya Ramadan, setiap umat beragama islam pasti menggunakan peluang yang ada untuk mengerjakan amalan kebaikan. Kedai Emas Perling, yang terletak di Taman Perling, Johor Bahru tidak melepaskan peluang meraih keberkatan dalam bulan yang mulia ini dengan melancarkan program infaq ‘ Kedai Emas Perling Prihatin’.
Program ini dijalankan dengan mengagihkan 1,000 kampit beras berjumlah RM20,000 kepada golongan asnaf, fakir miskin dan anak-anak yatim di sekitar kawasan berdekatan.
Pengasas Kedai Emas Perling, Nurul Aini Muslim berkata, pemilihan barangan asas, beras sebagai sumbangan utama adalah bagi meringankan beban golongan tidak berkemampuan yang terkesan dengan kenaikan harga beras di pasaran.
“Pada program infaq ini kita agihkan sebanyak 1,000 kampit beras dan bubur lambuk untuk setiap satu keluarga, sumbangan ini terbuka kepada semua, jika penerima adalah bukan dari kalangan asnaf, fakir miskin atau anak-anak yatim ia merupakan sedekah kami buat mereka sempena Ramadan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang menjalankan perniagaan emas, Nurul Aini menyatakan bahawa penjualan agak perlahan pada September tahun lalu hampir mematahkan semangatnya namun beliau kembali bangkit bersama kakitangannya dan mengubah strategi pemasaran. Inisiatif tersebut membuahkan hasil dan kini jualannya menunjukkan peningkatan yang positif.
“Selepas dua bulan mengikuti seminar, kita cuba mengubah strategi pemasaran dan alhamdulillah kita nampak peningkatan pada penjualan”, katanya lagi.
Membawa tagline “Mewah Bergaya Simbol Anggun Wanita Sempurna”, Kedai Emas Perling yang ditubuhkan pada tahun 2016 kini turut aktif di aplikasi Tiktok dimana pelanggan mempunyai pilihan untuk memilih atau ‘lock’ item yang diingini.
Antara promosi menarik yang ditawarkan ialah diskaun sebanyak RM5 bagi setiap gram emas yang dibeli khas buat pelanggan kelahiran negeri Johor.
Emas Perling turut menawarkan lebih 1,500 pilihan cincin dan lebih 800 jenis pilihan rekaan rantai tangan, ‘gold bar’ dan dinar emas, sekali gus menjadi pilihan peminatnya yang tersendiri.