Maybank Islamic Berhad dan TM, peneraju industri perbankan Islam dan telekomunikasi menjalinkan kerjasama strategik melalui Perbankan sebagai Perkhidmatan (BaaS) yang pertama yang digerakkan oleh 5G.
Perkhidmatan ini direka untuk pengguna dan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggabungkan perkhidmatan kewangan oleh Maybank Islamic dan pakej mudah alih Uni5G TM, menawarkan pelanggan kepada akses dan pengalaman yang lancar secara digital.
Pakej perkhidmatan perbankan perniagaan mudah alih pertama ‘Go Niaga’ ini ditawarkan kepada usahawan tempatan dan PMKS bagi membantu mereka menguruskan kewangan, meningkatkan pendapatan dan menawarkan pilihan pembayaran digital yang didayakan oleh rangkaian digital yang selamat daripada TM.
Pakej ini mengisi jurang pasaran semasa dalam segmen ini dan memperluaskan jangkauan perniagaan kepada lebih ramai pelanggan melalui perkhidmatan e-Dagang.
Dato’ Mohamed Rafique Merican, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic berkata, kerjasama antara syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia dan Maybank Islamic ini membuka peluang baharu untuk memberikan perkhidmatan perbankan Islam yang unik kepada pelanggan.
“Kerjasama ini merupakan satu inovasi dalam inklusi kewangan yang merangkumi penyelesaian Bank BaaS menerusi platform TM. Kini, individu atau peniaga yang tanpa kelayakan pembiayaan (unbankable) atau kurang khidmat bank (underbanked) mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan Maybank dengan liputan rangkaian mudah alih 5G melalui teknologi inovasi daripada TM.”
“Walaupun teknologi ini berasal daripada konsep BaaS, apa yang menjadikannya unik ialah pematuhan terhadap prinsip patuh syariah, menjadikannya perintis pertama di Malaysia. Ia menggabungkan teknologi moden dengan keperluan etika kewangan Islam, menyediakan perkhidmatan kewangan yang inovatif dan patuh syariah,” katanya.
Shanti Jusnita Johari, Ketua Pegawai Komersial bagi Strategi Pengguna & Perniagaan di Unifi berkata, “PMKS adalah sektor pertumbuhan penting dalam ekonomi negara. Segmen ini kini menyumbang hampir 38% kepada KDNK Malaysia, namun potensi mereka terhalang oleh akses yang terhad kepada alat digital dan perkhidmatan kewangan.
Ini lebih ketara dalam kalangan segmen yang kurang berkemampuan, perniagaan mikro dan kecil yang menghadapi banyak cabaran dalam mengakses perkhidmatan kewangan dan inovasi digital yang diperlukan untuk meningkatkan taraf hidup dan sumber pendapatan mereka.