UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), syarikat Pengurusan Aset & Penyelesaian Infrastruktur, sedang melaksanakan strategi pengembangan serantaunya dalam pasaran pengurusan kemudahan bersepadu di Timur Tengah.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Syarikat telah merasmikan perjanjian dengan pihak Kumpulan KAIZEN, sekaligus mengukuhkan kehadirannya di rantau ini. Menekankan kepada komitmen inisiatif pertumbuhan strategik, UEM Edgenta turut mengumumkan pertukaran tiga (3) Memorandum Eksplorasi Perniagaan (MOBE) berasingan dengan rakan kongsi mereka; DISRUPT-X DMCC (Disrupt-X), ZAIN TECHNOLOGIES LLC (Zain Tech) dan Tadoom.

Diumumkan semasa Persidangan UNFCCC (“COP28”), pihak Syarikat berbesar hati mengumumkan pemerolehan pegangan sebanyak 60% di dalam sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan hartanah dipacu teknologi terkemuka yang berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pertukaran Dokumen MOBE dengan Tadoom & Disrupt-X
Baris belakang: Datuk Amran Hafiz Affifudin, Pengerusi, Kumpulan UEM (kiri); Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad (kedua dari kiri); YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (ketiga dari kiri); Dato’ Mohd Izani Ghani, Pengarah Urusan, Kumpulan UEM (kedua dari kanan)
Baris depan: Syahrunizam Samsudin, Pengarah & CEO, UEM Edgenta; Abdullah Al Badi, CEO, Tadoom; Asim Ajwani, CEO, Disrupt-X

Kumpulan KAIZEN mempunyai reputasi yang cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan menyeluruh di seluruh rantaian nilai hartanah, termasuk Pengurusan Persatuan Pemilik, Pengurusan Komuniti, Pengurusan Projek Pembangunan, Penasihat & Perundingan Pengurusan Hartanah & Sewa, serta Perkhidmatan Penyerahan & Snagging.

Gabungan kekuatan UEM Edgenta dengan Kumpulan KAIZEN, bakal menubuhkan platform perkhidmatan hartanah yang bersepadu. Usaha kerjasama ini tertumpu bagi meningkatkan penyediaan perkhidmatan bersepadu dan mewujudkan pengalaman gaya hidup khusus, yang disokong oleh teknologi canggih dan penyelesaian yang mampan.

Pemerolehan ini juga akan memudahkan integrasi bangunan pintar Edgenta, memanfaatkan platform Asseto SaaS, dan menggabungkan penyelesaian kemampanan seperti Kecekapan Tenaga, Kontrak Prestasi Tenaga dan Inisiatif Bangunan Hijau. Langkah strategik ini menangani permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian-penyelesaian ini di rantau Timur Tengah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, “Kehadiran Kumpulan KAIZEN sebagai sebahagian daripada UEM Edgenta merupakan satu langkah strategik, memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor hartanah.

Ini didorong oleh Dubai Master Urban Plan 2040, yang bertujuan untuk mewujudkan modal kesejahteraan, dengan sasaran bagi meningkatkan reputasi Dubai sebagai bandar terkemuka untuk kehidupan berkualiti.

Pertukaran Dokumen MOBE dengan Zaintech & Disrupt-X
Baris belakang: Datuk Amran Hafiz Affifudin, Pengerusi, Kumpulan UEM (kiri); Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad (kedua dari kiri); YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (ketiga dari kiri); Mohammed Rashdan Mohd Yusof, Pengerusi, Suruhanjaya Tenaga (kedua dari kanan); Dato’ Mohd Izani Ghani, Pengarah Urusan, Kumpulan UEM (kanan)
Baris depan: Syahrunizam Samsudin, Pengarah & CEO, UEM Edgenta; Maatje Maria Rencken, VP Digital Solutions, Zaintech Solutions; Asim Ajwani, CEO, Disrupt-X

Penggabungan ini mengukuhkan kehadiran UEM Edgenta di Timur Tengah, selaras dengan visi ‘Edgenta of the Future 2025’. Ia memperluaskan jejak antarabangsa kami, yang telahpun meliputi Malaysia, Singapura, Taiwan, Indonesia, UAE dan Arab Saudi, sambil meningkatkan penawaran produk dan teknologi kami dalam pasaran pertumbuhan tinggi.

Usaha ini adalah bukti komitmen berterusan kami untuk memperkayakan kehidupan dan memajukan infrastruktur pada skala global, sambil merealisasikan penyelesaian teknologi yang berpandangan ke hadapan dalam pembangunan bandar pintar yang mampan.”

“Inisiatif kami hari ini bukan sekadar aspirasi; kami yakin ini merupakan jalan yang terbaik untuk dunia yang mampan, inklusif dan makmur. Kami percaya bahawa data dan AI, terutamanya dalam konteks bandar pintar merupakan elemen asas dalam perjalanan transformatif ini. Melalui gabungan tersebut, kami bercita-cita untuk memimpin dalam mewujudkan piawaian industri baharu, memupuk kerjasama global, dan menerapkan prinsip ESG ke dalam intipati operasi Bandar Pintar kami,” tambah Syahrunizam.

Sebagai tambahan kepada pemerolehan Kumpulan KAIZEN, UEM Edgenta dengan sukacitanya mengumumkan perasmian MOBE bagi usahama dengan Disrupt-X, Zain Tech dan Tadoom.

Kerjasama strategik ini menandakan permulaan usaha kolektif yang bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran gabungan ketiga-tiga organisasi. Di dalam usahasama dengan Zain Tech dan Tadoom, UEM Edgenta akan memulakan inisiatif khusus di Oman dan rantau Timur Tengah secara amnya.

Disrupt-X memainkan peranan penting dalam perkongsian ini bersama Zain dan Tadoom, memberi tumpuan kepada pembangunan bandar pintar dan kemampanan dalam persekitaran dibina dengan memanfaatkan Internet of Things (IoT) dan penyelesaian pintar pada peringkat aset dan pada skala seluruh bandar.

Usahasama ini mengukuhkan komitmen UEM Edgenta untuk menyampaikan penyelesaian inovatif, berasaskan teknologi dalam sektor hartanah dan pada masa yang sama membentuk masa depan yang mampan dan maju secara teknologi di rantau ini.

Mewakili organisasi masing-masing semasa sesi pertukaran dokumen ialah Fadi Marwan Alnwilati Almasri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KAIZEN, Hany Hanna, Ketua Pegawai Eksekutif Zain Tech dan Abdullah Al Badi, Ketua Pegawai Eksekutif, Tadoom.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin turut ditemu bual oleh Reuters di sekitar acara COP 28 di Dubai. Selari dengan tema keseluruhan COP28, beliau membincangkan bagaimana teknologi inovatif dan infrastruktur hijau merupakan alat penting bagi entiti pengurusan aset seperti UEM Edgenta dalam menyumbang kepada matlamat iklim.