Seramai 300 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terdiri daripada 5 cabang badan berunifrom seperti Palapes Darat dan Laut, kadet Polis, kadet Maritim dan Kadet Angkatan Pertahanan Awam mengambil bahagian dalam perbarisan di padang UMT semasa dengan Hari Kesukarelawan dan Hari Intergiti (UMT).

Tokoh NGO Antarabangsa yang juga Profesor Adjung UMT, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican diberi penghormatan untuk mengambil Tabik Hormat sempena pembarisan berkenaan.

Mustapha dalam ucapannya menyatakan kesukarelawan merupakan salah satu tulang belakang kepada pembangunan organisasi dan negara kerana tanpa semangat sukarela serta kemahiran insaniah yang tinggi dalam diri individu dan masyarakat, keseimbangan pembangunan negara dan insan tidak dapat di capai dengan sempurna.

“Justeru, semangat sukarela perlu dibudayakan dalam kalangan mahasiswa kerana pada waktu ini mereka terdedah dengan persekitaran kehidupan di universiti yang memerlukan mereka untuk berdikari dan saling membantu.

“Para mahasiswa perlu mempunyai integriti yang tinggi agar dapat bersedia memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bentuk tenaga dan pengetahuan. Mereka perlu diberi galakan menceburkan diri dalam melakukan aktiviti-aktiviti sukarela, tolong menolong sesama manusia, menjaga alam sekitar, ikhlas dan berkorban demi kepentingan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, dalam erti kata lain, aktiviti kesukarelawan mampu memupuk diri mahasiswa supaya siapsiaga membantu komuniti dan alam selain dapat meningkatkan semangat cintakan negara.

Menurutnya, aktiviti atau amalan kesukarelawan di universiti kini melibatkan pelbagai organisasi seperti NGO, pertubuhan kelab dan persatuan selain peranan universiti itu sendiri yang memperkenalkan kursus kursus wajib berkaitan kesukarelawan seperti badan beruniform jelas bahawa aktiviti kesukarelawan tidak hanya tertakluk kepada bantuan dalam bentuk kewangan dan material sahaja malah dalam bentuk masa, tenaga, sokongan mental dan spiritual.

Oleh itu para mahasiswa yang menyertai ko kurikulum beruniform tentunya akan dapat meningkatkan kekuatan mental dan fizikal kerana setiap universiti pastinya mempunyai objektif yang sama iaitu melahirkan mahasiswa yang berpotensi tinggi dan serba boleh.

Kokurikulum merupakan salah satu perkara yang memberi impak yang besar kepada mahasiswa malah ianya boleh menjadi bahan sokongan yang kuat untuk memperlihatkan potensi mereka semasa proses mencari kerja kelak.

“Saya juga percaya keterlibatan mahasiswa dalam badan beruniform ini menguntungkan negara selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai lagi graduan yang kompetitif.

“Maka oleh itu janganlah para mahasiswa sekalian melihat aktiviti kokurikulum sebagai aktiviti yang meletihkan tetapi ingatlah pengalaman berharga itu akan dapat membantu membina kerjaya dan menjadi mahasiswa yang berdaya saing,” katanya sambil menambah
menganggotai badan beruniform juga dapat meningkatkan semangat patriotik dalam diri masing masing dan pada masa sama boleh menyuntik semangat menghargai peranan serta pengorbanan anggota keselamatan negara.