Pengeluar F&B yang diperakui halal, Yeo’s Malaysia (Yeo’s), sentiasa memberi keutamaan kepada operasi halalnya yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan pasaran dan membina keyakinan pelanggan terhadap rangkaian produknya di Malaysia dan luar negara.

Selain memenuhi kehendak pasaran Malaysia, hari ini Yeo’s juga tampil sebagai pusat pembuatan dan pengedaran global yang penting ke Indonesia, New Zealand, Australia, Eropah, Indochina dan Amerika Syarikat, menjadikan ia syarikat F&B terkemuka yang mempunyai Sijil Halal Malaysia untuk pasaran antarabangsa.

Pensijilan halal Malaysia membabitkan tadbir urus yang terperinci. Semua jenama mesti mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengurus Kanan Pematuhan Halal Yeo’s, Razana Mat Saad berkata, pihaknya mempunyai sistem yang komprehensif dan efektif yang mematuhi keperluan JAKIM sepenuhnya.

“Kami melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan Sistem Jaminan Halal (HAS) kami mematuhi sepenuhnya semua keperluan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) 2020.

“Peraturan halal yang ketat ini dipatuhi di seluruh premis dan produk kami. Keseluruhan rantaian pengeluaran, daripada sumber bahan kepada pembuatan dan pembungkusan, semuanya mematuhi undang-undang dan peraturan untuk pensijilan halal.

“Ini bermakna bahan mentah, bahan tambahan, bahan bantuan pemprosesan, perkakas dan peralatan kami, malah sistem pengeluaran, pemprosesan produk dan keseluruhan premis kilang kami, semuanya menepati standard ketat yang ditetapkan oleh JAKIM,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Yeo’s turut mempunyai pasukan khusus yang dilatih di bawah Majlis Profesional Halal JAKIM melalui inisitiaf Badan Penyedia Halal Berdaftar dan tenaga Pengajar Halal Berdaftar untuk sentiasa memantau dan memastikan kemampanan sistem halalnya melalui pengauditan dan semakan dalaman secara berkala.

“Kami bekerjasama rapat dengan JAKIM bagi memastikan kami dapat mengekalkan integriti operasi halal kami dan selama ini mereka memberikan sokongan yang sangat baik.  Kami juga terbuka untuk memanjangkan kolaborasi bersama JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk menganjurkan program-program kesedaran halal untuk memperkasa dan memperkukuh pengetahuan pengguna berkaitan halal,” katanya lagi.

Pengiktirafan yang diterima oleh Yeo’s selama ini adalah hasil kesungguhan syarikat berkenaan dalam mematuhi dasar halalnya.

Pada 2009, Yeo’s menerima anugerah ‘Jenama Halal Terbaik’ untuk pengamalan proses halal yang cemerlang, inovatif, konsisten dan kejayaan keseluruhannya. Pada 2018, ia diberikan pengiktirafan yang cukup membanggakan menerusi ‘Anugerah Jenama Halal Terbaik Dunia BrandLaureate’ (‘BrandLaureate World Halal Best Brands Award’) bagi kategori Makanan & Minuman FMCG.

Membina kepercayaan pelanggan

JAKIM merupakan pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia dan agensi bertanggungjawab untuk memberikan pengiktrafan halal kepada produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh industri yang memenuhi keperluan atau syarat yang digariskan dalam keperluan pensijilan halal dan Standard Malaysia yang berkuatkuasa.

“Semua industri termasuk pembuatan makanan yang memohon pensijilan halal daripada JAKIM perlu mematuhi peraturan dan keperluan hukum syarak. Pensijilan halal ini penting untuk membina kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap kualiti dan keselamatan produk yang mereka makan.

“Pengguna juga boleh menyemak dan mengesahkan status halal satu-satu produk melalui platform atas talian yang disediakan oleh JAKIM seperti Portal Rasmi Halal Malaysia atau Aplikasi Mobil seperti Verify Halal dan Smart Halal,” kata Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM, Ustaz Mohamad Zamri Mohamed Shapik.

Beliau berkata, JAKIM menyambut baik komitmen, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh syarikat-syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk sentiasa memastikan tahap pematuhan yang tinggi demi memastikan ekosistem pengawalseliaan halal sentiasa diyakini  dan menjadi rujukan dunia.

Ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk menjadi peneraju pasaran halal global menjelang 2025 dengan nilai eksport sebanyak RM63.1 bilion di samping memanfaatkan pasaran halal dunia yang dianggarkan melebihi US$1 trilion (RM4.68 trilion) tahun hadapan.

Keadaan ini dijangka akan meningkatkan lagi kedudukan pensijilan halal Malaysia yang diterima di peringkat antarabangsa dan menggalakkan promosi perdagangan, seterusnya menjadikan negara kita sebagai peneraju pasaran halal global.

Selamat untuk dimakan

Bagi melengkapkan pensijilan Halalnya, produk Yeo’s juga dikilangkan mengikut standard kualiti dan keselamatan makanan antarabangsa yang ketat serta selamat untuk dimakan.

Malah Yeo’s juga memperoleh sijil Hazard Analysis and Critical Control Points (Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal, HACCP) yang diiktiraf dalam industri makanan seluruh dunia bagi pengamalan keselamatan makanan.

Ketiga-tiga kilangnya, yang terletak di Shah Alam, Johor Bahru dan Ipoh, juga diperakui dengan Proses Pengilangan Baik (GMP) yang mengawal semua kemungkinan kemudaratan dalam proses pembuatan makanan, merangkumi proses penapisan dan pensterilan yang ketat serta sistem pengisian tertutup.

Pensijilan lain yang diperolehnya termasuklah MeSTI (kebersihan makanan), Perakuan Kesihatan Veterinar (VHM) untuk kilang di Shah Alam dan pensijilan SIRIM untuk kilang di Ipoh.

Baru-baru ini, syarikat ini turut berjaya memperoleh pensijilan FSSC 22000 untuk kilang di Ipoh, menunjukkan komitmennya yang konsisten menghasilkan produk selamat dan berkualiti tinggi yang bukan sahaja memenuhi bahkan melangkaui standard industri.

Buat masa ini Yeo’s sedang melaksanakan standard Inisiatif Keselamatan Makanan Global (GFSI) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.