Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican menasihatkan agar para graduan yang bakal menempuh alam pekerjaan supaya tidak mudah terperangkap dengan aktiviti ‘keldai akaun’.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, kegiatan ‘scammer’ semakin berleluasa khususnya sindiket yang menawarkan pekerjaan di luar negara dan mensasarkan golongan muda yang sedang mencari pekerjaan.

“Saya menasihatkan golongan mahasiswa atau graduan universiti agar menyelidik terlebih dahulu mana-mana individu atau agensi pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di luar negara agar tidak mudah terperangkap dan terpedaya dengan tipu helah yang dijanjikan.

“Jika tersilap langkah, anda akan menjadi mangsa sindiket ‘scammer’ yang akan menyebabkan usaha menyelamat sukar dilakukan kerana kegiatan mereka sukar dikesan selain boleh mengancam nyawa sekiranya mangsa didera secara fizikal.

Mustapha menyerahkan plak NGO Antarabangsa kepada Dato’ Sri Aidil Ismail

“Nasihat saya, hati-hatilah ketika memilih tawaran pekerjaan khususnya di luar negara dan lakukan kajian mendalam mengenai syarikat atau individu yang menawarkan pekerjaan ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan  Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Dato’ Sri Aidi Ismail di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, Aidi merupakan pengerak utama Program bersama dengan Pelajar UMT pada tahun lalu dengan menyaksikan kira-kira 2,500 pelajar hadir dalam program Bicara Tokoh bersama Ketua Polis Negara.

“Beliau juga adalah pengerak utama kejayaan program berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan,” katanya  sambil menambah beberapa isu lain turut dibincangkan membabitkan isu komuniti berkaitan pendidikan pencegahan jenayah, kesedaran di sekolah, pusat pengajian tinggi, persatuan belia dan masyarakat.

Mustapha menyerahkan kain mafla NGO Antarabangsa kepada Dato’ Sri Aidil Ismail

Tambah Mustapha lagi, sebagai penceramah sukarelawan di IPTA, beliau turut mengalakkan mahasiswa di universiti menyertai persatuan atau badan beruniform yang boleh memberikan manfaat apabila mereka keluar ke alam pekerjaan kelak.

“Saya juga sering menyampaikan mesej kesedaran jenayah ini penting setiap kali memberikan ceramah kepada golongan belia di luar negara seperti di Cambodia, Vietnam, Laos, Indonesia dan Thailand,” katanya.