Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dato Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Duta Palestin di Malaysia, Ambasador Walid Abu Ali di pejabatnya, semalam.

Dalam pertemuan empat mata bersama Walid Abu Ali yang juga mewakili negara Maldives dan Brunei Darussalam, pelbagai isu semasa dan antarabangsa dibincangkan membabitkan rakyat Palestin di negara ini.

“Isu utama perbincangan adalah berkaitan pendidikan dan kesihatan khususnya membabitkan kira-kira 1,500 pelarian rakyat Palestin di Malaysia dan pelajar Palestin yang belajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

“Menurutnya,  fokus utama ialah kebajikan para pelajar yang kadang kala tidak mempunyai wang ketika berada di tahun akhir pengajian kerana kebanyakan mereka adalah pelarian dan mempunyai keluarga,” katanya.

Dr Mustapha berkata, pihaknya berharap mana-mana individu, syarikat atau tokoh korporat dapat membantu meringankan beban mereka dengan menaja skim insurans kesihatan atau dana pendidikan bagi membantu rakyat Palestin di negara ini.

Beliau berkata, golongan ini sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai disebabkan status mereka sebagai pelarian dan terbeban kerana terpaksa menanggung kos rawatan kesihatan yang tinggi di negara ini.

“Mereka juga memerlukan bantuan kita untuk meneruskan kehidupan yang mencabar manakala anak anak mereka memerlukan pendidikan bagi membangunkan semula negara Palestin pada masa depan.

“Dengan adanya ilmu pengetahuan, diharapkan generasi muda Palestin dapat mengubah nasib dan masa depan Palestin yang sering ditindas secara zalim oleh Israel,” katanya

Sementara itu, Ambassador Walid berharap lebih ramai usahawan Malaysia tampil membawa anak-anak muda Palestin di kem Pelarian Lebanon dan di lain-lain tempat untuk dibantu daripada segi penajaan pengajian.