Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Golf R pemasangan tempatan yang ditawarkan pada harga anggaran bermula RM330,000 hingga RM350,000.

“R-Rated” Golf R dilancarkan bersama “R Performance Package” sebagai standard yang merangkumi ekzos titanium Akrapovič, mode “Drift” dan “Special”, spoiler belakang baharu serta rim aloi Estoril bersaiz 19 inci.

Ekzos yang kini tujuh kilogram lebih ringan direka oleh pengeluar ekzos terkemuka Akrapovič. Terkenal dengan sistem ekzos premium dan berprestasi tinggi, jenama itu cukup sinonim dengan model-model terbaik Volkswagen termasuklah Golf R dan GTI.

Satu lagi kemas kini menarik pada Golf R ialah mode “Drift” dan “Special” yang boleh diakses menggunakan butang “R” yang diletakkan pada stereng sporty dengan rekaan rata pada bahagian bawahnya.

Apabila diaktifkan, mode Drift menyahaktifkan sistem Electronic Stability Control (ESC) dan menyalurkan kuasa tork secara seimbang kepada roda belakang, sekali gus memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

Ciri-ciri tambahan baharu lain ialah Heads-Up Display (HUD yang dipancarkan ke cermin utama, pengecasan telefon pintar tanpa wayar dan bantuan lampu tinggi automatik.

Di bawah hud, Golf R dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI yang mampu menjana 320PS dan tork 400Nm. Penukaran gear sangat pantas, terima kasih kepada transmisi DSG 7 kelajuan.

Sementara aspek keseimbangan dan cengkaman dikekalkan oleh sistem pacuan semua roda 4MOTION bersama ciri pemvektoran prestasi tork. Pecutan dari 0 hingga 100km/j hanya mengambil masa 4.8 saat.

Asal usul Golf R boleh dilihat bermula dari model R32 yang dilancarkan lebih dua dekad lalu. Ia dipasang dengan enjin 3.2 liter aspirasi biasa yang merupakan versi enjin VR6 Volkswagen yang unik.

R32 juga menjadi Volkswagen pertama dilengkapi kotak gear klac berkembar. Selepas lima generasi, Golf R kekal menjadi sebuah model Golf “halo”. Tarikannya terletak pada kenyataan bahawa ia merupakan salah satu model serba lengkap yang ada di pasaran.

Sebab itulah lebih 250,000 unit Golf R telah dihasilkan dan dijual di seluruh dunia. Golf R baharu didatangkan dalam tiga pilihan warna – warna biru signatur (Lapiz Blue), hitam (Deep Black) dan putih (Pure White).