Ekoran Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok ditangguhkan, Malaysia dijangka kehilangan hasil cukai dianggarkan RM1 bilion daripada produk vape. Kerajaan perlu segera membuat pengubahsuaian dalam kawal selia dengan mengenakan cukai serta mengawal selia produk vape terutamanya e-cecair yang mengandungi nikotin.
Pankaj Kumar, Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Centre (DARE), berkata, “Kelewatan membentangkan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok akan menyebabkan Kerajaan kehilangan RM1 bilion hasil cukai tidak dikutip. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan kerana Kerajaan bukan sahaja kehilangan hasil tetapi juga dilihat lepas tangan untuk melindungi pengguna yang terus membeli produk vape yang tidak dikawal.
Tahun lepas, Menteri Kewangan mengumumkan cukai ke atas e-cecair yang mengandungi nikotin dalam Bajet2022 bermula 1 Januari 2022 pada kadar RM1.20 setiap mililiter. Bagaimanapun, pelaksanaannya telah ditangguhkan sementara menunggu pembentangan rang undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok di Parlimen.
Bagaimanapun, baru-baru ini Menteri Kesihatan telah menyatakan bahawa rang undang-undang itu akan ditangguhkan.
Pankaj menambah, “Sekarang rang undang-undang itu ditangguhkan dan cara penyelesaiannya adalah dengan Kementerian Kesihatan menggunakan kuasanya di bawah undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan peraturan atau garis panduan berkaitan produk vape. Dengan cara itu Kementerian Kesihatan boleh memastikan produk dikawal dengan standard keselamatan dan kualiti. Lebih penting lagi, Kerajaan juga boleh mula mengutip cukai.”
Percukaian Berdasarkan Kadar Risiko Adalah Kunci
Menurut Pankaj, memandangkan vape kurang memudaratkan berbanding produk tembakau dan terbukti mampu mengurangkan kelaziman merokok, kerajaan harus mempunyai sistem percukaian yang menggalakkan perokok beralih dari rokok kepada vape.
Beliau berkata, “Cukai ke atas produk vape sepatutnya ditentukan mengikut kadar risikonya (risk proportionate) untuk menggalakkan perokok beralih kepada vape dan berhenti merokok. Duti eksais RM1.20 setiap mililiter seperti yang diumumkan di bawah Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan agak tinggi dan akan menjadikan vape lebih mahal daripada rokok. Ini akan mengagalkan inisiatif menggunakan produk ini sebagai salah satu strategi untuk mengurangkan kelaziman merokok.”
Walaupun langkah memperkenalkan duti eksais bagi cecair berasaskan nikotin adalah satu langkah terbaik ke arah mengawal selia semua produk vape namun duti eksais pada kadar tiga kali ganda lebih daripada kadar sebelumnya adalah keterlaluan dan tidak selari dengan kadar risikonya mengambil kira profil risiko produk vape yang lebih rendah.
“Dengan menggunakan prinsip kadar risiko (risk-porportionate), duti eksais yang dikenakan ke atas cecair vape sepatutnya lebih rendah”
Satu laporan yang diterbitkan oleh DARE pada Januari 2022 bertajuk “Clearing the Smoke: Tobacco Harm Reduction – A Game Changer For Malaysia’s Smoking Issues” menekankan keperluan bagi kerajaan untuk mengguna pakai strategi Pengurangan Kemudaratan Tembakau yang akan membantu bukan sahaja mengurangkan kelaziman merokok di negara ini tetapi juga membantu mengurangkan kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengannya.
“Kos penjagaan kesihatan Malaysia berkaitan merokok boleh dikurangkan sehingga 18% atau RM1.33 bilion pada 2025 dengan andaian terdapat pengurangan antara 2.9% dan 4.5% dalam kelaziman merokok antara 2021 dan 2025” katanya lagi.