Syarikat pengeluar makanan ringan, Madbean Holdings (Madbean) mensasarkan produknya akan menembusi pasaran global menjelang 2022.

Pengarah Urusan Madbean Sdn Bhd, Mohd Taufik Khairuddin, 30, berkata bermula dengan satu jenis biskut dengan nama ‘Zombie Cookies’, kini beliau berjaya mengeluarkan lebih 10 produk yang kebanyakannya mendapat sambutan luar biasa.

“Kami bermula pada tahun 2018 dengan Zombie cookies dan Alhamdulillah ia merupakan produk biskut Bumiputera pertama yang berada di pasaran Watson,” katanya pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pengasas merangkap Pengarah Pemasaran Mellow, Viscoff & The Vanilla Bean di Cyberjaya di sini.

Beliau berkata, bermula dengan 300 ejen jualan, kini Madbean bergerak pantas dengan pertambahan kepada 12,000 ejen seluruh Malaysia dengan operasi 6 buah kilang bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi.

“Kami bermula dengan satu meja dan kini ada enam buah kilang, dengan 300 ejen dan kini ada 12,000, dari 5 orang rakan kongsi dan sekarang ada 30 orang.

“Setiap produk kami ada rakan kongsi tersendiri dan kami sasar penambahan jumlah ejen seramai 20,000 orang menjelang 2022,” katanya.

Antara produk Madbean Holdings yang mendapat sambutan tinggi daripada pelanggan termasuk Mellow Cookies, Mellow Crunch, Viscoff Crunch, Baby Viscoff, Tachos dan aneka kek dari The Vanilla Bean.

Beliau berkata, setiap ejen syarikat kini mencatatkan keuntungan jualan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Kami bermula dengan 100,000 unit untuk produk pertama, dan sekarang ianya mencapai permintaan sehingga 2 juta unit setiap bulan” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Madbean Holdings, Hanif Jamaluddin berkata, pihaknya menyasar untuk memasarkan produk-produk di Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan beberapa negara lain yang sepatutnya telah bermula sejak tahun lepas namun kekangan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan perancangan tersebut terpaksa ditunda ke tahun hadapan.

“Sepatutnya, kami sasar untuk menembusi pasaran negara luar pada tahun lepas namun disebabkan PKP, kita bawa rancangan ini ke tahun hadapan.

“Kita jangka mampu membuka kilang pada awalnya di Indonesia bagi menampung permintaan di sana nanti,” katanya.