Sejajar dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Mei 2021, Agrobank menyambut baik inisiatif yang diambil oleh Kerajaan berkaitan moratorium bersasar bagi pembiayaan bank di bawah Pemerkasa Plus melanjutkan tempoh permohonan sehingga akhir Disember 2021.

Bantuan pembiayaan ini akan diberikan kepada mereka yang terjejas, untuk membantu pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan bantuan kewangan sepanjang tempoh PKP 3.0 disebabkan oleh COVID-19.

Mengulas mengenai pengumuman tersebut, Khadijah Iskandar, Pemangku Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Agrobank menyambut baik langkah-langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan memandangkan peningkatan mendadak kes COVID-19 di Malaysia pada ketika ini.

“Bank menyedari bahawa adalah penting untuk memberikan bantuan kewangan kepada individu yang terjejas, terutamanya kepada mereka yang kehilangan pendapatan atau mereka yang pendapatannya telah berkurang dengan ketara, serta kepada mereka yang menjalankan perniagaan dan sedang mengalami kesan buruk.

“Kami memahami bahawa pelanggan kami pada ketika ini sedang berhadapan dengan kesan pandemik yang berpanjangan, dan akan mula cemas untuk melakukan pembayaran semula pembiayaan mereka.

“Sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab, kami akan terus memberikan sokongan yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan kumpulan pelanggan kami yang terjejas secara kewangan.

“Bagi pelanggan yang masih berhadapan dengan kesukaran untuk membuat bayaran ansuran bulanan mereka, Agrobank akan terus menawarkan bantuan pembayaran dan menerima permohonan sehingga akhir Disember 2021 di bawah program Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar (BBPB).

“Kami ingin menyatakan di sini kepada semua pelanggan kami bahawa sebarang bantuan kewangan yang diambil tidak akan mempengaruhi status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka,” katanya.

Program BBPB yang telah dijalankan oleh Agrobank sebelum ini telah dimulakan pada 24 November 2020 dan pada awalnya dijadualkan berakhir pada 30 Jun 2021.

Di bawah Pemerkasa Plus, individu yang kehilangan pekerjaan, kumpulan B40 yang merupakan penerima ‘Bantuan Sara Hidup’ (BSH) atau ‘Bantuan Prihatin Rakyat’ (BPR), perusahaan mikro dengan kemudahan pembiayaan yang diluluskan kurang dari RM150,000.00, PKS dan perusahaan mikro  yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan, layak untuk memilih penangguhan pembayaran balik selama tiga bulan atau bantuan pembayaran ansuran dengan pengurangan sebanyak 50% bagi tempoh enam bulan.

Selain itu, mereka yang berada dalam kelompok M40 dan juga merupakan penerima BSH atau BPR serta mengalami pengurangan pendapatan atau kehilangan pekerjaan juga layak untuk memilih penangguhan pembayaran balik selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50% bagi tempoh enam bulan.

Khadijah berkata, selain daripada kumpulan sasaran ini, pelanggan lain yang terjejas juga turut dialu-alukan untuk menghubungi pegawai cawangan atau pengurus perhubungan masing-masing untuk membincangkan kemungkinan penyelesaian bagi mengatasi cabaran kewangan yang mungkin sedang mereka hadapi.

“Sebagai institusi kewangan yang mengutamakan kesejahteraan dan kemajuan komuniti pertanian, kami berharap langkah-langkah ini dapat membantu pelanggan kami yang sedang berhadapan masalah kewangan dan sekaligus membolehkan mereka untuk memberi fokus kepada perkara lain yang lebih kritikal  dalam meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

“Sekiranya situasi berlanjutan, bank akan mempertimbangkan kemungkinan menawarkan penyusunan semula dan penjadualan semula pembiayaan dan ia terbuka kepada pelanggan perniagaan dan PKS kami serta individu yang terkesan oleh situasi semasa dan permohonan mereka akan dinilai berdasarkan kes mengikut kes,” tambah beliau.

“Oleh kerana Agrobank menyediakan pembiayaan yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai pertanian, bantuan yang tersedia adalah bersesuaian untuk pelanggan individu, mikro, PKS dan juga korporat.  Kami menyeru kepada para pelanggan kami untuk datang berunding dengan pegawai kami mengenai pilihan yang ada atau sekiranya mereka tidak pasti apa yang perlu dilakukan selanjutnya,” katanya.