Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah melancarkan buku Fiqh dan Arahan Perubatan Awal secara dalam talian (online) menerusi Radio IKIM dan TV IKIM oleh Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi, IKIM pada 20 Mei 2021 jam 9.30 pagi.

Buku Fiqh dan Arahan Perubatan Awal merupakan hasil penerbitan daripada penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama kepakaran akademik dari beberapa buah universiti seperti Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA.

Penyelidikan yang membawa kepada penerbitan buku ini dijalankan bagi memperhalusi kerangka kefahaman islami terhadap Arahan Perubatan Awal.

Arahan Perubatan Awal atau Advance Medical Directive (AMD) merupakan arahan bertulis oleh seorang pesakit untuk dikuatkuasakan pada waktu pesakit hilang keupayaan kognitif untuk membuat keputusan.

Perkara ini masih baharu di Malaysia walaupun telah banyak diguna pakai di negara-negara maju.

Arahan Perubatan Awal merangkumi bentuk penjagaan yang diingini atau pelantikan wakil untuk membuat keputusan bagi pihak pesakit.

Dalam konteks penjagaan akhir hayat, Arahan Perubatan Awal merupakan dokumen rujukan yang penting buat pihak hospital dan waris pesakit terutamanya apabila hendak menentukan takat pemberian terapi bantuan hayat.

Buku Fiqh dan Arahan Perubatan Awal ini dihasilkan bagi mengupas perspektif fiqh Islam terhadap kebolehlaksanaan Arahan Perubatan Awal.

Kupasan dilakukan dengan memperhalusi tiga isu utama Arahan Perubatan Awal, iaitu batasan autonomi pesakit dalam membuat arahan, keupayaan kognitif pesakit semasa membuat arahan, dan susunan kelayakan wakil pesakit dalam membuat keputusan bagi pihak pesakit.