Halal Development  Corporation Berhad (HDC) dan Universiti Malaysia Terengganu telah menandatangani Memorandum Persefahaman yang bertujuan menubuhkan Pusat Innovasi Halal di Terengganu melalui meluaskan kerjasama akademik, dari sudut latihan dan penyelidikan.

Memorandum Persefahaman telah ditandatangani oleh Hairol Ariffein Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif HDC dan Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu dengan disaksikan oleh Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, Pengerusi  Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, di Majlis Perasmian Program Jelajah Halal Malaysia anjuran HDC di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu.

Hairol Ariffein berkata, “Sejajar dengan visi HDC untuk menjadikan halal sebagai pilihan pertama dalam meneroka perniagaan dan misi HDC untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja mahir di dalam industri halal bagi memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu adalah untuk meningkatkan dan meluaskan kerjasama akademik, dari sudut latihan dan penyelidikan serta mempromosikan jalinan kerjasama ke dua-dua belah pihak,” katanya.

Kerjasama ini menunjukkan pentingnya industri halal dalam era ekonomi baru. Industri halal global sangat besar, dengan permintaan yang mencecah USD3 trilion setahun.

Pelbagai peluang perniagaan dan prospek dalam peluang pengajian, serta tambah nilai ke atas inisiatif pembangunan bakat dan pekerjaan berkualiti.

Hairol Ariffein berkata, UMT adalah institusi pendidikan tinggi yang pertama di Terengganu untuk bekerjasama  dengan HDC dalam meningkatkan penyelidikan dan pembangunan halal dan seterusnya mewujudkan Pusat Inovasi Halal di Terengganu.

Malah kolaborasi ini juga memenuhi inisiatif  ‘Target Relief and Recovery Facility (TRRF)’ di bawah Bank Negara bagi menghulurkan bantuan kewangan kepada PKS perniagaan halal yang perniagaannya terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ia membantu meningkatkan jumlah PKS yang terlibat dalam Perniagaan Halal, melalui produk pembiayaan bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata, Bank Islam gembira dapat bekerjasama dengan HDC dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan.

“Produk dan perkhidmatan kami tidak terhad kepada pelanggan perseorangan atau perkhidmatan pengurusan tunai sederhana sahaja tetapi juga untuk memenuhi kepercayaan perniagaan yang lebih bersesuaian dengan PKS mengikut keadaan dan suasana perniagaan yang mencabar sekarang.

“Sebagai Bank yang memajukan kesejahteraan untuk semua, kami percaya bahawa kolaborasi ini akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk mengekalkan perniagaan, terutamanya PKS, seterusnya mengembangkan industri Halal Negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor berkata, kerjasama dengan HDC untuk memperkuatkan ekosistem industri halal, memperkukuh komitmen untuk menyediakan nilai tambah kepada pelajar.