Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) meneruskan sumbangan keperluan sekolah kepada golongan B40, kali ini kepada seramai 50 orang murid di daerah Langkawi bagi membantu golongan ini dalam sesi persekolahan mereka.

Sumbangan tersebut yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, adalah sebahagian daripada inisiatif Yayasan Peneraju membantu pelajar-pelajar dari golongan yang tidak berkemampuan.

Mohd Redzuan yang bertanggungjawab dalam menyelia agensi tersebut, berkata program seumpama itu dapat meringankan beban kewangan golongan sasaran terutama ibu bapa bagi menyediakan pembelajaran persekolahan ketika negara sedang bergelut dengan pandemic COVID-19.

Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bersama tetamu-tetamu kehormat dan sebahagian dari Angkatan Pertahanan Awam yang terlibat dalam menjayakan majlis penyerahan peralatan persekolahan

Beliau mengambil peluang berkongsi tentang program-program pembiayaan dan pembangunan yang disediakan oleh Yayasan Peneraju untuk pelbagai kumpulan Bumiputera termasuk program Peneraju Tunas, Peneraju Skil, Peneraju Profesional,
Peneraju Teknologi dan Peneraju Spesialis.

Turut hadir Ts Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju. Yayasan Peneraju telah menyumbang keperluan sekolah kepada 100 murid di Bukit Kepong, kawasan Pagoh, Johor.

Program seumpamanya turut dijalankan di Alor Gajah di mana 100 murid turut menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) iaitu program Ceria Ke Sekolah.

Yayasan Peneraju merupakan satu inisiatif kerajaan untuk mengukuhkan pembinaan
keupayaan bumiputera secara sejagat dan berterusan.

Antara mandat Yayasan Peneraju adalah meningkatkan kualiti dan kuantiti bakat-bakat Bumiputera sejajar dengan usaha menaik taraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui akademik, vokasional, pensijilan profesional, teknologi dan spesialis.

Golongan-golongan lain yang turut diberi perhatian oleh Yayasan Peneraju termasuklah ibu tunggal, orang kelainan upaya, orang asli yang mempunyai sistem sokongan sosial yang terhad dan golongan pelajar tahfiz yang diberi kemahiran tambahan dalam bidang kemahiran.

Yayasan Peneraju, sejak ditubuhkan pada tahun 2012, telah melahirkan lebih 36,000 modal insan Bumiputera dalam pelbagai bidang melalui 276 program pembiayaannya.

Angka ini akan terus dipertingkatkan untuk memastikan modal insan Bumiputera terus diberi peluang untuk meningkatkan taraf pendidikan, kemahiran serta pentauliahan demi memastikan Malaysia diperkayakan dengan modal insan yang akan terus memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi.