Malaysia sebagai peneraju hub halal dunia komited untuk mempertingkatkan agenda pangkalan data industri halal Malayisa yang komprehensif.
Justeru, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam pemerkasaan penyelidikan dan analitik data industri halal.
DOSM diwakili oleh Ketua Perangkawan, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin dan HDC diwakili oleh Hairol Ariffein Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengambil langkah perlu dalam meningkatkan dan mempromosi kerjasama bagi memperkasa produk dan perkhidmatan statistik industri halal melalui perkongsian pengetahuan dan penjanaan data statistik.
Mohd Uzir berkata, “Sebagai penjana statistik rasmi negara, DOSM sentiasa memperkasa peranannya dengan mempelbagaikan sumber data melalui inisiatif data raya dan data pentadbiran.
Dengan termeterainya MoU ini, lebih banyak statistik berkaitan industri halal dapat direalisasikan melalui analisis dan penyelidikan lanjut yang dilaksanakan dengan kerjasama kedua-dua pihak. Ini merupakan antara usaha berterusan dalam membudayakan pembuatan keputusan berasaskan bukti demi kebaikan industri.”
Beliau turut memaklumkan, “DOSM telah menerbitkan maklumat ekstensif Statistik Halal di Malaysia, antaranya nilai jualan, nilai tambahan dan guna tenaga. DOSM juga menerbitkan statistik eksport produk halal secara bulanan”.
Sementara itu, Hairol Ariffein berkata, beliau amat berbesar hati untuk berkongsi satu penanda aras signifikan dalam industri halal Malaysia di mana HDC dan DOSM akan bekerjasama ke arah penghasilan Perkongsian
“Data Statistik Industri Halal Malaysia, data raya halal yang diiktiraf yang pertama seumpamanya di dunia disokong oleh Kerajaan untuk membuka jalan kepada indikator ekonomi industri halal yang lebih tepat,” katanya.
Majlis memeterai MoU telah diadakan bersempena webinar HDC yang bertajuk Halal Sectoral Roadmap Implementation 2021. “Halal Sectoral Roadmap diperkenalkan oleh HDC untuk memperkukuh rangka tindakan halal nasional berdasarkan senario ekonomi global semasa.
Dua sektor telah dipilih iaitu Farmaseutikal dan Perkhidmatan Makanan dengan sasaran nilai hasil RM40 bilion oleh Perkhidmatan Makanan Halal dan RM1.6 bilion oleh Sektor Farmaseutikal Halal menjelang 2025.




































