Perodua melancarkan rangka tindakan lestari (sustainable blueprint) pertamanya yang merangkumi hampir seluruh ekosistem pembekal dan pengedar automotif Malaysia, bertujuan untuk mendorong Perodua dan industri ke arah globalisasi yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Perodua Smart Build merupakan evolusi daripada objektif asal penubuhan Perodua dan industri automotif Malaysia, iaitu untuk mewujudkan ekosistem automotif yang mampan dan kukuh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua Smart Build merupakan ‘Transformasi 3.0’ Perodua yang dibina berdasarkan kejayaan-kejayaan sebelumnya.

President & CEO Dato’ Zainal Abidin Ahmad

Beliau berkata, Perodua memulakan transformasi pertamanya pada 2011 dengan mengumumkan pembinaan ekosistem Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), penghentian aliran kecacatan, penubuhan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd dan meningkatkan kesedaran kualiti di Perodua.

“Transformasi 2.0 memberi tumpuan kepada kepuasan pelanggan, pembangunan organisasi dan perpaduan di kalangan seluruh Kumpulan Syarikat Perodua.

“Kini, kami berada di fasa ketiga transformasi untuk ‘membina’ Perodua dan rakan-
rakan niaganya ke tahap di mana kami dapat menduduki posisi yang unik dalam
industri,” katanya.

Beliau berkata, di bawah ‘Transformasi 3.0’, Perodua akan bekerjasama dengan rakan-rakan niaganya untuk mengurangkan jurang kualiti, kos dan penghantaran di dalam
ekosistem automotif dan memastikan industri berada pada ‘saiz yang betul’.

Zainal berkata, Perodua juga sedang bekerjasama dengan rakan-rakan niaganya untuk mengenalpasti kepakaran sedia ada yang boleh dimanfaatkan di luar Malaysia.

Beliau turut memberi contoh, kakitangan Perodua kini sedang bekerjasama dengan
Daihatsu Japan dalam mereka bentuk model Daihatsu, yang merupakan salah satu
usaha untuk mengeksport kepakaran ke luar negara.

“Perodua akan terus memanfaatkan hubungan rapat dengan Daihatsu untuk merealisasikan objektif Perodua Smart Build.

“Perodua Smart Build akan dicapai dengan bantuan pemegang saham dan rakan teknologi serta teknikal kami, Daihatsu Motor Company of Japan; dan kerajaan Malaysia yang mewujudkan ekosistem ini untuk memberi faedah kepada negara,” katanya.

Menurutnya, Perodua Smart Build direka untuk membantu Perodua dan ekosistem automotif negara mengambil manfaat daripada Dasar Automotif Nasional dengan menjadikan industri tersebut lebih berdaya saing dan maju.

Antara komponen utama Perodua Smart Build adalah pembangunan produk sepenuhnya oleh Perodua dan para pembekalnya, pembentukan budaya kerja kelas pertama dan pemikiran kelas pertama yang akan menyumbang kepada negara.

“Pelancaran Perodua Smart Build tidak bermaksud kami telah mencapai potensi penuh
komponen-komponen ini; sebaliknya, ia menandakan permulaan perjalanan Perodua dan rakan-rakan niaganya menuju tahap daya saing yang lebih tinggi.

“Kami berterima kasih kepada Daihatsu kerana diberikan peluang ini dan sokongan berterusan mereka selama ini. Sudah tiba masanya untuk kita berkongsi kerjasama ini
sepenuhnya dengan rakan-rakan niaga kami di Malaysia,” katanya.

Beliau menambah bahawa sebilangan pembekal Malaysia telah pun menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global Daihatsu, dan Perodua sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk membangunkan lebih banyak pembekal tempatan ke arah tuju yang sama.

“Kami juga memberi tumpuan kepada pembangunan para pengedar kami, termasuk
mengukuhkan operasi mereka dan membimbing mereka ke arah amalan terbaik global
bagi meningkatkan lagi kepuasan pelanggan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Perodua berhasrat untuk memastikan kesinambungan perniagaan para pengedar dengan berkongsi amalan terbaik serta teknologi terkini.

“Para pengedar kami adalah rakan-rakan niaga kami, sama seperti hubungan kami dengan Daihatsu, dan kami komited terhadap kejayaan mereka selagi mereka komited terhadap matlamat-matlamat kami.

“Daripada segi produk, model-model kami pada masa hadapan akan lebih selari dengan
trend semasa dan pada masa yang sama mengekalkan kelebihan kami – ruang, praktikaliti, kualiti, kebolehpercayaan, kecekapan bahan api dan nilai terbaik,” katanya.