Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah berjaya merampas beberapa produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia serta makanan yang disyaki dicampur palsu dengan racun berjadual.
Makanan yang dirampas adalah dalam bentuk gula-gula dan minuman yang disyaki mengandungi racun perangsang seks seperti sildenafil dan tadalafil.
Hasil risikan terancang yang dijlalankan oleh CPF KL telah membawa kepada serbuan melibatkan rampasan produk-produk kesihatan dianggarkan bernilai RM 533,974.
Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh berkata, serbuan dijalankan ke atas 2 premis kediaman dan 3 premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.
Seramai 26 orang pegawai farmasi daripada Jabatan ini terlibat dalam serbuan ini. Siasatan lanjut ke atas semua premis akan diteruskan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.
Antara produk tidak berdaftar dan makanan yang disyaki mengandungi racun yang telah dirampas adalah Candy B, Catuaba, Hammer Ginseng & Coffee, Xtreme Candy, Soloco, Vimax, Maxman Crème dan AK-11 Phenomenal King.
Perbuatan memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah merupakan pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Penjualan racun berjadual tanpa lesen yang sah boleh disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sildenafil dan Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk).
Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar. Penyalahgunaan ubat terkawal ini tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap system kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.
KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan yang dijual serta memastikan produk-produk kesihatan yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari www.npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut.
Orang ramai termasuk pihak media juga digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.
Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.