Beberapa program utama dibangunkan oleh Gopeng Berhad bagi tujuan pembangunan perladangan nanas MD2 atas jenama produk Gopeng Premium Pineapple (Gopine) dan menyahut hasrat kerajaan untuk membantu golongan B40 menambah pendapatan mereka.
Gopeng Berhad merupakan sebuah syarikat Bumiputera yang terlibat dalam mengendalikan beberapa projek perladangan khsususnya nanas MD2 seluas 200 ekar yang terletak di Gopeng.
Pengerusi Eksekutif Gopeng Berhad, Datuk Mohd Salleh Hashim berkata, program ini adalah sebahagian usaha tanggungjawab koporat dan komersial meliputi program agropreneur perladangan, program usahawan peruncitan dan program agrokomersial.
Menurutnya, program agropreneur perladangan menyasarkan usahawan muda yang akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) penanaman Gopeng Berhad dan mendapatkan bekalan benih tanaman secara terus.
“Kontrak belian semua hasil akan diberikan sekiranya usahawan ini mengikut sepenuhnya SOP kita. Keluasan bagi seseorang peserta tidak melebihi 20 ekar dengan latihan dan bimbingan secara berterusan akan diberikan.
“Bagi program usahawan peruncitan pula untuk melahirkan usahawan pemasaran buah segar dan produk hiliran Gopine secara jualan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Pemprosesan dan Pengumpulan Nanas Gopine di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri.
Mohd Salleh berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 500 kiosk usahawan ini pada tahun ini di negeri Perak dengan kos permulaan kira-kira RM3,500 meliputi sebuah kiosk, perkakasan niaga dan stok permulaan 200 kilogram buah nanas bagi setiap pengusaha.
Katanya, program agrokomersial pula merupakan kerjasama pembangunan ladang secara komersial bagi keluasan yang melebihi 100 ekar.
“SOP penuh, input pertanian dan bekalan benih tanaman akan dibekalkan oleh Gopeng Bhd dan perjanjian belian semula hasil MD2 akan dimeterai.
“Fokus utama projek agrokomersil ini adalah bagi mewujudkan ladang nanas premium MD2 secara komersial dimana perancangan teliti akan dibuat bagi memastikan standard pengeluaran hasil mencapai kualiti eksport,” katanya.
*Rencana dan gambar ini sumbangan Zaki Salleh bekas wartawan Kosmo