Kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan adalah prinsip utama yang didokong Wanita UMNO Malaysia.
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, tidak sesekali perjuangan Wanita UMNO mengkhianati parti, ahli parti dan rakyat waima pada waktu susah dan senang dalam perjuangan selama ini.
“Saya menegaskan permainan kotor musuh politik masih berleluasa apatah lagi menyasarkan kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Puan Chaya Sulaiman yang kononnya beliau akan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh terdekat seperti ditularkan di media sosial.
“Justeru itu, saya menolak sekeras-kerasnya cubaan pihak tertentu yang berusaha memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan UMNO, apatah lagi pihak tertentu ini pasti kecewa di atas kegagalan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
“Saya ingin mengingatkan bahawa Wanita UMNO sentiasa redha di atas setiap perjuangan yang dilalui apatah lagi UMNO sudah melalui fasa kekalahan yang lebih teruk sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Keputusan di DUN Kukusan yang memperlihatkan kekalahan tipis 10 undi calon tunggal Wanita UMNO, kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak sama sekali mematahkan semangat perjuangan kami.
Norliza yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, dalam politik, menang atau kalah adalah adat dan rencam permainan strategik.
Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang itu berkata, justeru, jauh sekali wujudnya unsur sabotaj dalam kalangan jentera Barisan Nasional.
“Kita berjuang dengan niat yang ikhlas dan hanya orang yang kecewa dan irihati sahaja menimbulkan polemik sedemikian kerana mereka telah menyedari bahawa kekuatan dan kegerunan yang ditunjukkan Wanita UMNO dan parti UMNO semakin terkesan dan rakyat sudah mula beralih dan menyakini semula parti keramat ini,” katanya.
Sementara itu, Chaya Sulaiman menafikan kononnya beliau akan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh terdekat seperti ditularkan di media sosial.
Chaya yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang lepas ketika dihubungi berkata beliau turut menerima maklumat berkenaan.
“Sejak semalam saya serta enam jawatankuasa UMNO turut menerima maklumat itu kononnya kami akan keluar daripada UMNO dan Barisan Nasional, tidak tahu siapa dan dari mana maklumat seumpama itu mereka dapat,” katanya.
Menurut Chaya, ketika ini beliau sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah sejak Isnin lepas dan menunggu keputusan saringan COVID-19.