Perodua meneruskan inisiatif perlindungan awamnya dengan menyumbang lebih 7,700 pelindung muka kepada 66 sekolah rendah di kawasan Putrajaya dan Hulu Selangor baru-baru ini, untuk kegunaan kakitangan akademik dan sokongan.
“Setelah menyumbang kira-kira 11,000 pelindung muka kepada sekolah-sekolah menengah di Putrajaya dan Hulu Selangor pada Jun, Perodua kini menyumbang kepada sekolah-sekolah rendah pula di kawasan-kawasan tersebut,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Tujuan sumbangan ini adalah – pertama, untuk perlindungan, kesihatan dan kesejahteraan para murid, guru dan kakitangan sokongan; kedua, sebagai tanda penghargaan kepada kerajaan atas usaha-usaha mereka dalam menangani COVID-19; dan ketiga, sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat sekeliling yang telah menyokong dan menyambut baik kami selama 27 tahun kami bertapak di sini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada sekolah-sekolah kerana memberi kami peluang ini untuk bekerjasama dengan masyarakat dalam menyokong perjuangan Malaysia menentang pandemik ini,” katanya.
Setakat ini, Perodua telah menyerahkan lebih 30,000 pelindung muka secara keseluruhan, antaranya kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah dan klinik-klinik Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan para penjaja pasar pagi dan malam di Hulu Selangor dan Selayang.
Dihasilkan oleh salah satu syarikat bersekutu Perodua, pelindung muka tersebut mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum.
Kusyen span pada bahagian dahi menghalang kemasukan titisan air manakala jalur elastik boleh dilaraskan untuk pemakaian yang selamat dan selesa.
“Di Hari Malaysia ini, Perodua, sebagai syarikat yang prihatin, bertanggungjawab dan mengutamakan insan, ingin menyeru rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan mematuhi semua garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, agar kita dapat menewaskan COVID-19 sebagai satu negara,” katanya lagi.