Apa yang anda mahukan apabila mempunyai kemampuan untuk membeli kenderaan mewah? Adakah rekabentuk yang menarik, ciri keselamatan, sistem audio infotaimen yang hebat ataupun enjin yang berkuasa atau boleh pandu dengan sendiri?

Kesemua ciri itu mungkin ada pada semua kenderaan buatan Sweden ini yang sudah lama berada di pasaran Malaysia sejak 2014 lagi. Ciri paling hebat ialah Pilot Assist dimana kereta ini boleh bergerak sendiri dengan dikawal sepenuhnya oleh sistem komputer dengan sedikit kawalan oleh pemandu.

Malah model berkenaan yang dimaksudkan ialah Volvo XC90 juga dilihat masih gagah di jalan raya termasuk menjadi kereta pengiring kepada pemimpin tertinggi kerajaan.

Keselamatan adalah ‘jantung’ kepada XC90 dan ia adalah hasil inovasi berdekad kumpulan jurutera Volvo. Model ini dibina menggunakan besi boron bertekanan ultra tinggi – salah satu jenis besi paling kukuh yang ada dipasaran yang menjadi perisai kepada penumpang di dalam kenderaan ini.

Prebiu.com yang pernah memandu uji model utiliti sukan (SUV) XC90 T5 pada pertengahan tahun lalu, dipelawa sekali lagi menguji model versi dipertingkatkan pada kali ini namun ia adalah model XC90 T8 Inscription Plus lebih premium.

Logo hijau pada sebelah kiri meter tanda Pilot Assist diaktifkan

Pujian pertama harus diberikan ialah bunyi enjin yang cukup senyap dan hampir tidak perasan bahawa enjin SUV ini sudah dihidupkan kecuali apabila tombol gear digerakkan kepada ‘D’.

XC90 versi dipertingkat (facelift) kali ini ditawarkan dalam pilihan rim baharu, warna luaran tambahan dan sedikit perubahan pada gril radiator, termasuk bawah bampar depan dan belakang dengan lip dan kemasan krom.

Bagaimanapun, ruang kabin kekal dengan konfigurasi standard 7-kerusi manakala aspek mekanikal tidak berubah, varian XC90 Inscription Plus dijana enjin 1,969cc T8 Twin Plug-In Hybrid berkuasa 407hp dan tork 640Nm dengan transmisi automatik 8-kelajuan-Geartronic.

Bagaimanapun, edisi facelift ini dilengkapi bateri litium-ion lebih besar 11.6 kWh (tambahan 10.4kWh) yang menawarkan pemanduan elektrik penuh sejauh 50km (ekstra 15 peratus).

Volvo XC90 ketika ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu XC90 T5, XC90 T8 Twin Engine Inscription dan paling premium T8 Inscription Plus.

Perbezaaan T8 Inscription Plus

Ciri paling ketara membezakan ketiga-tiga varian ini ialah T8 Inscription Plus dilengkapi sistem audio paling mewah berharga kira-kira RM10,000 iaitu Bowers & Wilkins (B&W) berjenama Britain ini berkuasa 1400watt berbanding dua varian lain cuma ada 10 pembesar suara 330Watt.

Jika anda mampu apa salahnya kerana sistem audio B&W ini memang direka khas untuk kabin Volvo. Paling menonjol pembesar Twiter terletak di tengah-tengah atas papan pemuka siap dengan logo B&W bersama kemasan aluminum selain unit speaker pada bahagian pintu.

Ada 19 unit pembesar suara yang memberi kesan audio akuistik terbaik dan sistem bunyi yang terhasil cukup jelas, tajam serta jitu seolah-olah anda sedang berada dalam studio rakaman atau dewan orkestra.

Ledakan bunyi berkuasa 1400watt ini, menghasilkan bunyi yang mendalam, kaya dengan bunyi bass malah penumpang belakang juga dibekalkan dengan unit pembesar suara diatas kepala yang diletakkan dibahagian ruang belakang bonet.

Rekaan luaran

Sebagaimana model XC90 terdahulu, model yang dipertingkatkan ini kelihatan lebih elegan dan mewah dengan dilengkapi rekaan gril baharu kekemasan krom sepenuhnya serta rekaan bamper rendah.

Model yang dipandu uji berwarna Thunder Grey, Metalik ini juga dipadankan dengan kekemasan krom pada sisi pintu dan pada corong ekzos. Padanan krom yang tidak keterlaluan menjadikan SUV ini tampak tegap dan ‘macho’.

Ketika SUV ini diparkir, penulis dapat melihat sistem suspensi udaranya mengubah kedudukan secara automatik dengan kedudukan menaik, namun apabila kereta itu mahu dipandu, sistem suspensinya akan menurun secara sama rata sekaligus merendahkan tahap graviti SUV berkenaan dan memudahkan penumpang masuk. Hebat bukan!

Sistem suspensi ini dibantu oleh casis aktif Four-C yang bertindak mengubah kedudukannya mengikut keadaan pemanduan semasa. Casis ini dikawal secara elektronik sepenuhnya menggantikan peredam jenis tradisional yang membantu memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan ketika kereta ini dipandu.

Selain itu, lampu utama LED yang berfungsi automatik sepenuhnya dilengkapi sistem Lampu Tinggi Aktif yang tidak menyilaukan pengguna jalan raya lain manakala gaya lampu-T ala ‘Thor’ direka untuk membuktikan kehadiran XC90 di jalan raya sama ada siang atau malam.

Rekaan dalaman

Seperti model terdahulu, T8 Inscription Plus turut dilengkapi paparan skrin sentuh 12.3 inci; paparan informasi kepala (HUD) yang berfungsi memberikan maklumat mengenai tahap kelajuan pada cermin hadapan, navigasi, tombol gear kristal Orrefors, kunci kereta kulit Nappa, rim 20 inci dengan tayar 275/45, dan Lampu Lentur Aktif (ABL) LED dengan Lampu Suluh Tinggi Aktif (AHB) dengan pencuci lampu utama.

Selain kemasan kayu Linear Walnut pada papan pemuka, konsol gear dan panel pintu, ia turut diadunkan dengan kemasan kulit pada papan pemuka dan panel pintu, berserta karpet khas Inscription dan pakej penataan cahaya kabin peringkat tinggi.

Untuk keselesaan pemandu dan penumpang hadapan, kerusi kemasan kulit Nappa dengan ciri boleh laras elektrik disediakan termasuk 3 memori untuk pelarasan kerusi.

Ciri lain T8  ialah Bantuan Parkir Pilot, kamera pandang 360º, ventilator penyaman udara di tempat duduk baris kedua (di pilar-B) dan bumbung panorama.

6 mod pemanduan

Meskipun rekaan luarannya agak besar dan lebar, namun enjin 2.0 liter pengecas turbo mampu menghamburkan kuasa 407hp dan tork 640Nm. Model plug-in hibrid (PHEV) ini dipadankan dengan 6 mod pemanduan.

Mod pemanduan itu ialah AWD, Pure, Hybrid, Power, Off Road dan Individual. Apabila mod dipilih, sistem komputer SUV ini akan melaraskan suspensi udara dan prestasi enjin mengikut tetapan yang sudah disetkan.

Jika memilih mod Pure, ia membantu pemilik menjimatkan bateri. Bagaimanapun, anda tidak perlu bimbang jika indikator bateri tidak penuh kerana enjin akan mengambil alih pemanduan.

Dengan kapasiti bateri lebih besar, SUV ini mampu dipandu menggunakan sumber kuasa elektrik penuh sejauh 50km, berbanding 43km sebelumnya.

SUV ini bukan sahaja menjimatkan minyak tetapi mesra alam kerana mengurangkan pelepasan emisi. Ciri ini cukup sesuai untuk pemanduan harian ke tempat kerja.

Sekiranya mahu menjimatkan minyak, anda boleh memilih mod Hibrid dimana proses pengecasan turut berlaku ketika memandu menerusi sistem brek regeneratif dan punat Charge pada skrin sentuh di konsol tengah.

Petunjuk indikator pada bateri akan meningkat setiap kali brek ditekan atau pedal minyak dilepaskan dan ini jelas jika pemandu sering menggunakan brek sama ada ketika mendaki atau menurun bukit atau melayan selekoh tajam.

Kombinasi enjin 2.0 liter super-cas dan pengecas turbo dengan motor elektrik jelas menawarkan prestasi mengagumkan. Ini dapat dirasakan ketika SUV ini dipandu membelah lebuh raya dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang.

Meskipun SUV ini adalah model PHEV, namun prestasi enjinnya cukup hebat malah tanpa disedari meter enjin mencecah 180 kilometer sejam meskipun pada mod Hibrid. Dalam kertas, kelajuan maksimum SUV ini ialah 230km/j berbanding 215km/j bagi varian T5.

Andai kata tidak cukup kuasa, boleh sahaja tekan mod Power yang mengaktifkan enjin bertukar lebih responsif dan berkuasa. Cuma mod ini akan membakar lebih banyak bahan api berbanding mod Hibrid.

Sistem keselamatan termaju

Volvo XC90 T8 Inscription Plus ini dilengkapi teknologi keselamatan aktif iaitu stereng automatik meliputi pakej City Safety dan Sistem Maklumat Titik Buta

Teknologi City Safety dengan Autobrake mampu membrek secara automatik apabila mengesan kehadiran pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan bersaiz besar secara tiba-tiba.

Tidak ketinggalan teknologi Oncoming Lane Mitigation dan teknologi Cross Traffic Alert dengan brek automatik.

Ciri paling menarik ialah Pilot Assist, ciri semi-autonomi yang mana sistem berkenaan mudah dioperasi dengan menekan butang pada stereng di sebelah kiri untuk mengaktifkannya.

Pilot Assist cukup sesuai digunakan ketika berada dalam kesesakan lalu lintas. Sistem ini boleh diaktifkan pada kelajuan di bawah 50 kilometer sejam dan juga lebih 140km/j. Dengan mengikut jarak yang ditetapkan dan kelajuan kenderaan di hadapan.

Pilot Assist cukup sesuai digunakan ketika berada dalam kesesakan lalu lintas kerana anda tidak perlu sentiasa memegang stereng atau menekan brek dan pedal minyak. Ini kerana segalanya dikawal sepenuhnya secara pintar oleh komputer.

Sekiranya anda melepaskan tangan dari stereng beberapa saat, sistem akan mengeluarkan notifikasi pada meter ‘stereng apply’ atau sistem akan terbatal sendiri.

Sistem ini dengan sendiri akan mengawal brek dan stereng secara elektronik. Sekiranya anda mahu menekan pedal untuk meningkatkan kelajuan, sistem ini kemudian akan kembali kepada normal.

Kelebihannya, kaki kanan dapat berehat daripada menekan pedal minyak atau brek kerana semuanya dikawal sepenuhnya oleh sistem komputer yang bertindak melakukan brek dan menekan pedal minyak dengan sendirinya.

Penulis juga mencuba sistem ini ketika memandu di lebuh raya dan mendapati ia cukup responsif dengan mengesan kedudukan kenderaan di hadapan atau bersebelahannya.

Ketika kelajuan ditetapkan pada 110 km/j, SUV ini akan bergerak mengikut kelajuan ditetapkan dan pemandu boleh meningkatkan atau menurunkan tahap kelajuan dengan hanya menekan butang pada kiri stereng.

Sistem brek Volvo juga hebat kerana ia bertindak memberikan respon brek pendek yang pantas malah jika anda sedang mengundur dan secara tiba-tiba kenderaan atau objek dibelakang dikesan, sistem brek akan diaktifkan secara automatik.

Satu lagi ciri yang boleh ditonjolkan pada SUV ini ialah apabila kereta berhenti, suspensi akan direndahkan supaya penumpang mudah keluar-masuk manakala operasi memuatkan barang dalam but juga mudah dan praktikal menerusi pengenalan butang boleh laras tinggi dipadankan.

Kesimpulan

Memandu XC90 T8 Inscription Plus sejauh lebih 600 kilometer dari KL-Penang pergi dan balik cukup selesa dan banyak dibantu oleh kerusi empuk mewah saduran kulit Nappa yang menyokong tubuh badan dengan sempurna, sekali gus mengurangkan keletihan ketika memandu jauh.

Sepanjang perjalanan, penulis memilih mod Hibrid kerana ia menjimatkan minyak namun sekali sekala memecut namun tidak menghampakan setiap kali pedal minyak ditekan.

Sistem kamera 360 darjah yang dipaparkan jelas pada skrin tengah konsol pula membantu memudahkan kereta ini diparkir ditempat sempit atau perlu melalui lorong yang sempit.

Ruang dalaman yang luas dan selesa dengan corong penyaman udara disediakan sehingga kepada kerusi baris ketiga tidak mengecewakan. Malah jika mahukan ruang bagasi lebih luas, kerusi baris ketiga boleh dilipat rata dengan mudah.

Bagaimanapun, satu ciri yang mungkin agak tidak praktikal pada SUV plug-in hibrid ini ialah proses mengecas di rumah yang perlu mengambil masa yang lama dan juga menyebabkan putaran piring meter tiba-tiba berputar lebih laju daripada kebiasaan.

Begitu juga kuasa bateri akan merosot cepat sekiranya SUV ini dikerah atau dipandu lebih laju. Namun, penulis percaya ramai yang akan mengecas bateri kereta ini dilokasi mengecas yang disediakan secara percuma seperti di pusat beli belah terpilih atau parkir Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).