Oleh Adam Salleh
[email protected]

63 tahun merdeka, 63 tahunlah kita rakyat Malaysia menyanyikan lagu Negaraku. Sejak bersekolah rendah hingga bekerja Lagu Kebangsaan itu dinyanyikan kita penuh bersemangat terutama pada 31 Ogos sebagai bangsa bermaruah yang bebas daripada cengkaman penjajah.

Malangnya ramai tidak mengetahui siapakah penggubah lagu Negaraku itu ? Beliau adalah Saiful Bahri Elyas.

Nama Saiful Bahri itu begitu asing buat generasi hari ini dan tidak mustahil generasi akan datang juga jika tiada usaha kerajaan untuk mengenang kembali jasa Saiful Bahri sebagai penggubah lagu Negaraku.

Bukan saja lagu Negaraku, Saiful yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Muzik Filem Negara Malaysia juga mengasilkan lagu-lagu membangkitkan jiwa anak watan seperti lagu Malaysia Berjaya, Barisan Kita, Samudra Raya, Gagah Perkasa dan Muhibbah.

Lagu Barisan Kita cukup sinonim dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah lagu itu gemar dinyanyikan peminat sukan sewaktu pasukan negara bertarung dalam kejohanan sukan antarabangsa.

Lagu Samudra Raya ditujukan Saiful pada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM). Untuk menyatukan masyarakat majmuk negara kita Saiful Bahri menghasilkan pula lagu Muhibbah.

Sentuhan Saiful Bahri ditagih oleh Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk mengasilkan lagu rasmi negeri itu berjudul Duli Yang Maha Mulia.

Begitu juga lagu rasmi negeri Melaka, Melaka Maju Jaya dan lagu tema Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dicipta oleh Saiful Bahri.

Jika merujuk kepada laman Youtube, lagu-lagu dinyatakan itu ada tetapi majoriti tidak mencatat nama Saiful Bahri sebagai pencipta atau penggubah. Untuk salahkan ‘youtuber’ muda itu tidak adil juga kerana nama Saiful Bahri itu sudah begitu asing pada kita.

Lagu-lagu komersial Saiful Bahri tidak kurang “berhantu” seperti Semalam Di Malaysia, Jangan Ditanya Kemana Aku Pergi, Semalam Di Bukit Tinggi, Gunung Jerai, Hariati, Pulau Langkawi dan Lima Tahun Ku Cari.

Sekian banyak lagu-lagu ciptaan Saiful Bahri, satu hal kita terlepas pandang kerajaan tidak pernah memberi penghargaan pun pada beliau. Tiga kerajaan, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan kini Pakatan Nasional (PN), Saiful Bahri kekal mati sebagai Saiful Bahri.

Tidak seperti Shah Rukh Khan dan Jackie Chan yang datang sejenak di sini untuk berlakon sahaja kini sudah berstatus “Datuk.”

Mengimbau kembali sejarah, Saiful Bahri lahir di Payakumbuh, Sumatera pada 19 September 1924 dan meninggal dunia di Tokyo, Jepun, pada 26 November 1976 pada usia 52 tahun.

Saiful Bahri (kanan)

Jenazah beliau dibawa ke Jakarta, Indonesia atas urusan isteri pertamanya, R.Suratmi dan dikebumikan di Tanah Kusir, Kebayoran Lama, Jakarta.

Saiful Bahri mempunyai dua isteri di Malaysia, Che Jah Mamat dari Kelantan dan Noraini Ahmad. Ketika Saiful Bahri meninggal dunia, Noraini berusia 28 tahun dan mempunyai lima anak termasuk yang bongsu masih di dalam kandungan.

Sebaik bayi itu lahir, Noraini menamakannya Saiful Bahri yang kini berusia 43 tahun. Sejajar tema Hari Kemerdekaan kita kali ini, Malaysia Prihtin, apakah kita benar-benar prihatin terhadap jasa Saiful Bahri?

*Penulis adalah mantan Pengarang Hiburan dan Berita Harian Metro. Kini bergerak bebas sebagai penganaiisis hiburan dan ‘Youtuber’ menerusi saluran Adam Salleh Channel