Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyiarkan dapatan dan syor yang terkandung di dalam Kajian Semula Pasaran di bawah Akta Persaingan 2010 bagi Sektor Perkhidmatan (Borong dan Runcit untuk Produk Terpilih), selaras dengan seksyen 11 dan 12 AP 2010.
Penyiaran Kajian Semula Pasaran ini telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi di Hotel Majestic di Kuala Lumpur.

Kajian pasaran ini dijalankan untuk lebih memahami struktur pasaran dan menilai aktiviti pasaran di sepanjang rantaian bekalan untuk mengenal pasti sebarang perlakuan anti-persaingan dalam perdagangan borong dan runcit (WRT) bagi empat (4) produk terpilih iaitu makanan dan minuman (terproses); penjagaan diri dan kelengkapan peribadi; produk pembersihan rumah; dan pakaian.
Kajian pasaran ini juga bertujuan untuk mengkaji semula mana-mana peraturan dan dasar yang mungkin menghalang persaingan dalam sektor ini di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada dapatan, MyCC telah mencadangkan syor untuk memperbaiki lagi proses persaingan bagi empat (4) produk terpilih untuk menyokong usaha-usaha Kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia.
Dapatan laporan telah mengenal pasti beberapa isu yang didorong oleh pasaran, yang mengetengahkan perubahan tabiat pembelian pengguna Malaysia ke platform digital dan e-dagang disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kajian pasaran ini menunjukkan bahawa platform dalam talian dapat mengurangkan kos operasi, yang secara tidak langsung akan membawa kepada penurunan harga untuk pengguna.
Walau bagaimanapun, pemain industri tidak cekap dan mampu untuk menangani trend baharu ini; selain terpaksa berhadapan dengan wabak COVID-19 serta terus dibebani dengan pengenalan cukai digital.
Dapatan laporan ini juga telah mengenal pasti isu-isu utama yang didorong oleh pengawalseliaan di mana rakyat Malaysia, khususnya perniagaan, masih tidak menyedari kesan dan kandungan Akta Persaingan 2010 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Laporan tersebut telah mengemukakan beberapa syor awal yang meliputi, memudahkan pembaharuan struktur untuk memastikan kecekapan dan daya tahan; memupuk persekitaran yang kompetitif ke arah amalan terbaik industri; menetapkan dasar dan peraturan progresif yang memberi kesan positif jangka panjang; dan memastikan peraturan dan undang-undang bagi industri WRT sentiasa dikemaskini.
“Syor yang dinyatakan dalam laporan itu adalah penting untuk mengurangkan bebanan peraturan tidak perlu dan birokrasi; bagi menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan sektor perniagaan di Malaysia terutamanya dalam industri WRT”, kata Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.
MyCC juga percaya bahawa kajian ini merupakan rujukan penting bagi para pembuat dasar sesuai dengan usaha Kerajaan untuk menangani masalah yang didorong oleh pasar dan berdasarkan peraturan di sektor perkhidmatan.
Kajian ini dimulakan pada bulan Julai 2019 dan telah melalui analisis yang meluas, beberapa sesi dialog dan pertemuan dengan pihak berkepentingan utama dalam sektor perkhidmatan; termasuk kementerian yang berkaitan; agensi kerajaan; persatuan industri dan pengguna; dan pemain industri.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai dapatan kajian pasaran, sila dapatkan di laman web MyCC di www.mycc.gov.my






































