Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) jalin kerjasama menyediakan pembiayaan pendidikan untuk membantu hampir 200 golongan belia asnaf.

Ini membolehkan golongan ini memperoleh akses pendidikan melalui bidang akademik
dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) melalui program intervensi Peneraju Skil Iltizam dan Peneraju Tunas Azam di Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, beliau mengharapkan
semoga usahasama ini dapat membantu golongan asnaf keluar dari kancah kemiskinan.

Beliau turut berharap agar peserta yang terpilih untuk menyertai program ini menggunakan peluang dengan sebaik mungkin demi merubah nasib diri dan juga keluarga.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin, berkata, matlamat kerjasama ini adalah untuk memberi peluang kepada golongan asnaf yang tercicir untuk memperoleh akses pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti.

Dengan cara ini, ia dapat membantu golongan sasar ini mendapatkan pekerjaan yang mampu menjamin masa depan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga.

Program kerjasama ini adalah seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) bertujuan merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas ekonomi, kumpulan etnik dan wilayah geografi.

Tumpuan diberikan dalam bidang pendidikan sebagai asas ke arah merapatkan jurang
ekonomi kumpulan sasaran agar mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

Ini juga sejajar dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di mana pada peringkat global antara 17 matlamat PBB adalah membasmi kemiskinan, membasmi kebuluran, meningkatkan tahap kesihatan & kesejahteraan, menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dan menjana pertumbuhan ekonomi dan merapatkan jurang ketidaksamaan sejagat menjelang 2030.

“Kami sedar bahawa terdapat golongan asnaf yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi disebabkan pelbagai faktor terutamanya masalah kewangan dan kesempitan hidup.

Melalui pembiayaan pendidikan seperti ini, saya percaya ia memberi harapan baru kepada golongan asnaf ini untuk mengubah kehidupan mereka ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Di bawah kerjasama ini, YNS menjadi rakan strategik kepada Yayasan Peneraju di mana kedua-dua pihak bekerjasama memastikan program intervensi Peneraju Skil Iltizam dan Peneraju Tunas Azam dijalankan mengikut perancangan dan menepati sasaran yang ditetapkan.

Bagi tujuan pelaksanaan untuk kedua-dua program, YNS telah melantik Kumpulan Akademi YNS (KAYNS) yang merupakan sebuah badan berpengalaman dalam bidang TVET di Negeri Sembilan dan seterusnya akan melaporkan kemajuan para peserta program kepada YNS bagi tujuan pemantauan.

Program Peneraju Skil Iltizam menyediakan latihan perkhidmatan operasi hotel dan perkhidmatan operasi dapur selama tiga hingga enam bulan di pusat latihan KAYNS di Negeri Sembilan.

Seramai 100 golongan belia asnaf yang tercicir akan mengikuti latihan berasaskan kompetensi ini.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pula memainkan peranan dan menyumbang kepada program ini dari segi mengenal pasti dan menyediakan maklumat golongan belia asnaf di Negeri Sembilan yang berminat untuk mengambil bahagian dalam program tersebut kepada KAYNS.

Selepas tamat latihan, para peserta program akan mendapat penempatan pekerjaan di Eagle Ranch Resort Port Dickson, Metra Square Hotel Melaka, Tasik Villa International Resort Port Dickson, Bayu Beach Resort Port Dickson dan Cyberview Resort & Spa Cyberjaya dan dijangka mampu memperoleh pendapatan dalam lingkungan RM2,000 sebulan.

Semua pihak sudah sedia maklum di mana industri perhotelan dan pelancongan terjejas teruk berikutan gejala pandemik COVID-19 yang mengakibatkan ramai tenaga kerja di kedua-dua industri tersebut turut terkesan.

Namun demikian, kerajaan telah mengambil langkah-langkah positif untuk memulihkan dan merancakkan kembali industri yang terlibat ini pasca COVID-19.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, Malaysia akan berusaha menghidupkan semula industri pelancongan dengan memberi tumpuan kepada pelancongan domestik serta memasarkan negara ini sebagai destinasi percutian yang selamat.

Selain daripada itu, pihak MOTAC juga melalui Tourism Recovery Action Council (TRAC) sedang giat merangka strategi bagi mengukuhkan daya saing dan kelestarian industri pelancongan negara kesan daripada COVID-19.

Bagi industri pelancongan kesihatan pula pihak Malaysia Healthcare Travel Council
(MHTC) akan merangka strategi dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelancong.

Melalui kerjasama ini, bagi program Peneraju Tunas Azam akan memberikan, akses kepada pendidikan akademik berkualiti kepada 82 pelajar asnaf yang mempunyai latar belakang yang mencabar.

Subjek yang ditawarkan merangkumi Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan juga subjek-subjek lain yang difikirkan sesuai oleh KAYNS. Tempoh latihan program Peneraju Tunas Azam adalah bermula Mac 2020 sehingga Disember 2021.

Para peserta program akan mengikuti pembelajaran di Pusat Darul Asnaf Seri Sendayan dan Pusat Darul Asnaf Seri Tanjung. Kedua-dua pusat ini adalah milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan mereka yang terpilih akan menerima kemudahan elaun sara diri, tempat tinggal dan makanan.

Setakat ini, Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi lebih 30,000 penerima faedah melalui 261 program pembiayaan dengan peruntukan sebanyak RM679.8 juta yang diterima sepanjang tempoh lapan tahun penubuhannya.

Yayasan Peneraju menyatakan komitmen untuk terus melahirkan bakat Bumiputera yang kompetitif dan bertaraf dunia khususnya di bidang ekonomi digital, kewangan & perakaunan, penganalisaan data serta teknologi IR4.0.