Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Penasihat NGO-NGO Malaysia, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, berdasarkan laporan dari Kementerian Sumber Manusia, kadar pengangguran di Malaysia kini berada pada paras 3.9 peratus dan akan mencecah 5.5 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata, menjadi harapan pihaknya agar kerajaan bersama pihak swasta mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah ini akibat kesan daripada wabak pandemik COVID-19.

“Wabak ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada banyak sektor perniagaan seperti industri pelancongan, perhotelan dan industri lain sedangkan setiap tahun semua universiti awam dan swasta menyaksikan ramai graduan menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang.

“Justeru, saya menyarankan sudah sampai masanya para graduan kita tidak memilih apa jua jenis pekerjaan tetapi memberi fokus kepada mencari pengalaman kemudian baru memikirkan hala tuju berdasarkan kepada Ijazah atau Diploma yang dimiliki.

“Saya juga mencadangkan kepada pihak Kerajaan menyediakan Latihan Kemahiran atau latihan Industri kepada semua graduan secara percuma membabitkan mana-mana kursus yang diminati selepas memperolehi Ijazah atau Diploma,” katanya ketika mengadakan perbincangan dua hala dengan Pensyarah dan Ketua Pusat Kecemerlangan Media & industri Kreatif dari Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff.

Dr Mustapha berkata, graduan yang lulus di universiti kadang-kala sukar mendapatkan pekerjaan dan menerusi latihan industri ini, minat mereka kepada bidang yang diminati boleh dipupuk seperti perniagaan, pertanian, penternakan dan perikanan serta bidang lain yang boleh diterokai.

Beliau mencadangkan, pihak kerajaan perlu memudahkan prosedur untuk lepasan graduan ini dengan menyediakan pinjaman misalnya sebanyak RM5,000 atau RM10,000 bagi memulakan sesuatu perniagaan atau projek yang ingin dilaksanakan.

Katanya, apabila pinjaman diberikan, projek atau perniagaan mereka boleh dipantau oleh pegawai tertentu termasuk memberikan khidmat nasihat bagi memastikan projek itu berjalan lancar.

Selain itu, pihak majikan swasta perlu mengutamakan lepasan Ijazah dan anak tempatan untuk mendapatkan apa-apa pekerjaan yang sesuai dan bukan lagi bergantung kepada pekerja asing.

Beliau menyeru, para graduan juga boleh mengambil peluang dengan meneroka bidang yang boleh mendatangkan hasil yang baik seperti industri plastik, besi buruk dan industri makanan yang boleh diterokai.

“Jadi rebut peluang yang ada dan jangan bergantung sangat kepada sektor kerajaan semata-mata kerana jawatan yang ada amat terhad.

“Ramai yang berjaya menceburi pelbagai bidang kadangkala tidak sama dengan ijazah yang mereka perolehi ini kerana usaha yang gigih dan minat kepada sesuatu bidang itu mendorong mereka berjaya,” katanya.