Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican meredah perjalanan solo sejauh 500 km sehari bagi menyampaikan sumbangan Ramadan di 26 perkampungan Islam di pedalaman Kemboja.
Kebanyakan masyarakat Islam di sini tidak terdedah dengan dunia luar dan mereka hidup dalam komuniti mereka yang mana barang keperluan hanya seminggu sekali menerusi kereta membawa barangan jualan yang masuk ke kampung-kampung mereka meredah jalan tanah merah.
Pada waktu begini khususnya ketika COVID-19, masyarakat Kemboja hidup normal seperti biasa kerana tidak ada pengaruh luar atau orang luar yang datang ke kampung-kampung.
“Menerusi lawatan membabitkan hampir 26 buah kampung yang saya lawati, kemiskinan, kemunduran dan tahap pendidikan masih rendah. Apapun pendidikan anak-anak Islam bermula di masjid dan surau-surau yang terdapat di kampung mereka.
“Kita bertuah di Malaysia banyak kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan termasuk bantuan serta sumbangan pelbagai pihak termasuk NGO berbanding di Kemboja yang tidak ada jabatan khusus bagi membantu fakir miskin.
“Di negara ini, tidak ada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mahupun Baitulmal,” katanya.
Beliau berkata, wakil rakyat yang banyak membantu datang dari negara Malaysia menerusi NGO dan hakikatnya kelaparan, kesusahan dan kemiskinan tegar adalah perkara biasa yan dapat dilihat di Kemboja.
“Selaku Pengerusi NGO, saya membuat kerja-kerja ini di Kemboja dan rasa terkesan apabila melihat kehidupan rakyat negara kita jauh lebih baik dan maju ke hadapan walaupun mereka miskin.
Dr Mustapha berkata, setiap tahun pada bulan ramadan NGO Antarabangsa akan menjelajah kampung-kampung sehingga membabitkan perjalanan mencecah 800 km dengan menyumbang 20kg beras, minyak masak, tepung, gula dan makanan ringan serta air minuman seperti oren dan sirap.
“Semua keperluan ini saya beli di pasar dan dibawa dalam sebuah lori yang saya sewa khas untuk tujuan ini kerana kereta tidak boleh masuk berikutan keadaan jalan tanah merah yang berlopak dan berliku-liku,” katanya.
Katanya, NGO tempatan di sini tidak mampu melaksanakan usaha kebajikan ini kerana faktor kewangan dan pengalaman meredah perjalanan yang jauh amat memerlukan ketahanan tubuh badan dan metal yang cekal.
“Saya juga bekerjasama dengan NGO tempatan apabila masuk ke kawasan pedalaman kadang-kala memerlukan kita bermalam di rumah orang kampung atau di masjid yang ada di kawasan tersebut.
“Inilah catatan perjalanan setiap tahun Program Kembara Ramadan bersama masyarakat Islam Campa di pedalaman Kemboja,” katanya lagi.