Platform mikro-influencer terkemuka, KOMACI Network Sdn Bhd (KOMACI) melancarkan platform layan diri terbaru mereka, KOMACI+.

Urusan pencarian dan penglibatan mikro-influencer kini semudah di hujung jari melalui platform yang dilancar pertama kalinya Malaysia ini.

Sebagai satu platform layan diri mesra pengguna, KOMACI+ memberikan kuasa kepada peneraju pasaran digital dan e-dagang termasuk pemasar dan organisasi berkaitan untuk mengakses secara mudah kepada mikro-influencer serta mengekalkan kerjasama erat antara dua pihak.

KOMACI+ juga membolehkan pengguna untuk membentangkan dan mengaktifkan kempen pemasaran digital, mengakses pangkalan data yang menjangkau lebih daripada 4,000 orang mikro-influencer dari dalam negara dan seterusnya menghasilkan kandungan sahih bagi mencapai khlayak dan demografi yang disasarkan.

Kesemua ini boleh dilakukan di sebuah platform pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif KOMACI, Ben Wong berkata, pemasaran influencer dijangka mencapai antara USD 5 billion hingga USD 10 billion pada 2020 bagi seluruh dunia.

“Di rantau ini sahaja, pertumbuhan sehingga 113% berjaya dicatatkan sejak 2018. Kita akan melihat lebih banyak kandungan ditaja yang berkembang di seluruh negara bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ini menunjukkan bahawa lebih ramai konsumer akan beralih kepada media sosial untuk memenuhi kehendak dan secara tidak langsung menjadikan mereka yang aktif di media sosial sebagai tempat rujukan untuk mendapatkan nasihat, tips dan cadangan,” katanya.

Platform layan diri KOMACI+ mengurangkan jurang antara mikro-influencer dan syarikat tempatan yang sebelum ini menghadapi pelbagai kesukaran untuk mendekati mikro-influencer yang bersesuaian dengan bajet serta skala pemasaran dan kempen penjenamaan disebabkan kekurangan sumber, bayaran yang mahal serta maklumat tidak dikemaskini.

“KOMACI+ mampu memudahkan misi pencarian mikro-influencer melalui jaringan pangkalan data mesra pengguna. Dilengkapi dengan ciri terbaik yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau Artifical Intelligence (AI), pelbagai jenama kini boleh mencari influencer yang bersesuaian dengan imej jenama, industri berkaitan serta bajet pembikinan kempen pemasaran, sebagai usaha meningkatkan jalinan penjenamaan.

“Bagi mikro-influencer pula, KOMACI+ akan membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk berhubung dengan pelbagai jenama daripada segmen yang berbeza. Kami mengharapkan platform ini dapat mewujudkan satu komuniti pemasaran influencer yang aktif, dimana pelbagai agensi dan jenama boleh meneroka potensi pemasaran influencer,” katanya.

Selain itu, ciri unik lain bagi KOMACI+ adalah proses pembayaran secara telus dan pembekalan data analitik merentasi masa. Pengguna juga dapat mengakses prestasi, laporan dan menilai hasil kempen dengan pantas untuk memastikan kempen berkenaan mencapai pulangan maksima. Tambahan lagi, kedua-dua pihak pengguna dan influencer dapat menyemak status pembayaran melalui laman yang dipaparkan.

KOMACI dalam pada masa yang sama, yakin bahawa jenama – jenama yang terlibat dalam bidang barangan pengguna selain industri automotif, gaya hidup, kembara dan hospitaliti bakal beralih menggunakan platform layan diri, KOMACI+ sebagai inisiatif untuk meningkatkan jualan serta pendedahan penjenamaan.

Meskipun pasaran melalui pengamalan khidmat influencer masih di peringkat awal, namun perubahan gaya hidup pengguna dan letusan teknologi membolehkan perkhidmatan ini dapat memberikan pemulangan yang lebih lumayan berbanding pasaran tradisional.

Menurut Business Insider Intelligence, bidang pemasaran influencer dijangkakan mencapai sehingga USD 20 Juta pada tahun 2022 berbanding hanya USD 2 juta pada 2017.

“Dengan pelancaran KOMACI+, kami berharap dapat bantu memajukan pasaran pemasaran influencer. Kami kini juga sedang mengatur langkah bagi menjalankan kerjasama dengan pasaran baru seperti Indonesia, Filipina, Vietnam dan Jepun.

“Kami ingin menjadikan platform ini sebagai titik pertemuan buat influencer dan perniagaan di Malaysia untuk berkolaborasi sekaligus menghasilkan komuniti berkongsi minat sama dalam usaha menghasilkan kandungan kreatif serta menjalinkan hubungan baik antara dua pihak,” katanya lagi.

Platform layan diri KOMACI+ kini dibuka untuk pendaftaran untuk versi percuma. Untuk maklumat lanjut tentang platform ini, sila layari www.komacinetwork.com