AirAsia telah menaik taraf aplikasi mudah alihnya bagi Android dan iOS, dengan ciri-ciri baharu dan inovatif untuk meningkatkan pengalaman pengguna.
Dengan menggunakan pendekatan mengutamakan tetamu dan senibina teknikal untuk menyokong visi syarikat dalam memberikan perkhidmatan selain penerbangan, aplikasi mudah alih ini telah direka semula untuk prestasi yang lebih pantas dan lebih mesra pengguna bagi menawarkan pengalaman yang lebih lancar dan peribadi.
Di samping mengoptimumkan ciri-ciri sedia ada, beberapa ciri baharu telah diperkenalkan, termasuk:
Proses tempahan baharu dan peta carian interaktif
Pengguna kini boleh menikmati peningkatan prestasi, kebolehgunaan dan masa transaksi yang lebih pantas, hasil daripada proses tempahan baharu dan peta carian interaktif.
Ruang sembang penerbangan
Berinteraksi sebelum anda berlepas. Dengan fungsi sembang masa nyata baharu, para tetamu boleh berhubung dengan penumpang lain yang bakal menaiki penerbangan yang sama sebaik sahaja mereka mendaftar masuk yang boleh dilakukan 14 hari sebelum waktu penerbangan yang dijadualkan.
Inspirasi perjalanan di hujung jari anda
Ciri baharu ini menepati tema dan carian tetamu ke destinasi AirAsia dengan tawaran dan tambang eksklusif.
Akses kepada pas masuk melalui e-dompet Apple
Penambahan fleksibiliti untuk menyimpan pas masuk mudah alih anda ke e-dompet Apple, yang membolehkan tetamu yang tidak mempunyai bagasi daftar masuk untuk terus menuju ke pintu masuk sebaik sahaja selesai pemeriksaan imigresen.
Ketua Pegawai Komersil Kumpulan AirAsia Karen Chan berkata, “AirAsia telah giat melabur dalam teknologi canggih dan bakat perkhidmatan pelanggan untuk meningkatkan keupayaan digital kami.
Penambahbaikan ke atas aplikasi mudah alih kami juga sejajar dengan inisiatif-inisiatif digital lain yang sedang dilakukan, seperti transformasi airasia.com untuk menjadi sebuah platform perjalanan dan gaya hidup terkemuka Asean dan pengenalan sistem pengecaman wajah, Fast Airport Clearance Experience System (FACES).
“Kami percaya ciri-ciri baharu ini akan menjadikan perancangan dan tempahan perjalanan lebih mudah dan menyeronokkan untuk tetamu kami. Kami akan terus melabur dalam inisiatif yang memberi sentuhan lebih peribadi kepada mereka dan kami teruja untuk melihat bagaimana tetamu kami berinteraksi dengan kami dan para tetamu yang lain.”
Aplikasi mudah alih yang diperbaharui ini boleh dimuat turun dari Apple App Store dan Google Play hari ini.