Program Bahasa Inggeris “Say It Right”(SIR) yang dijalankan selama 4 bulan bermula dari April hingga Julai lalu telah menutup tirainya pada 24 Ogos, 2019.
Seramai 44 orang murid tahap 1 dari Sekolah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya turut serta dalam persembahan terakhir yang diadakan di Auditorium Raja Tun Uda, Shah Alam.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Gurubesar, Suzanah Md Amin dan juga Yang Dipertua PIBG Datuk Izuddin Ilias serta Nuriah Manap dari AFS.
Anak-anak yang menyertai program ini telah dilatih dengan pelbagai kemahiran yang berkaitan dengan pengucapan awam melalui aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.
Terdapat beberapa kategori persembahan yang diadakan antaranya ialah, Choral Speaking, SIR Buletin (membaca berita), bercerita, 1 minit pengucapan awam dan duta dari pelbagai negara luar seperti India, Thailand, Germany dan Scotland.
Pengasas program SIR, Mimi Azrin Abu Bakar berkata, anak-anak akan lebih mudah faham dengan cara melakukan aktiviti dan bermain.
“Mereka akan lebih faham jika mereka sendiri melakukan dan melalui pengalaman itu. Beliau juga menerangkan semua aktiviti yang dibuat adalah hasil perbincangan dengan dua lagi rakan iaitu Syariza-Annur dan Ikhwan Akmal yang juga merupakan pengasas bersama bagi program ini.
“Kami sangat berhati-hati memilih pendekatan serta aktiviti yang akan digunakan dan harus memastikan ia bersesuaian dengan peringkat umur mereka.
“Ini kerana kami tidak mahu anak-anak berasa tertekan sewaktu melakukn aktiviti tersebut,” katanya.
Menurutnya, lebih menarik lagi, anak-anak sudah ada menunjukkan perubahan yang ketara selepas 4 bulan menyertai program ini dimana keyakinan diri semakin tinggi dan juga kualiti seorang pemimpin juga dapat dilihat di kalangan anak-anak ini.
Mimi Azrin berkata, tiada yang lebih membanggakan dari melihat anak-anak dapat menyampaikan persembahan dengan baik diatas pentas. Selain dari mereka bertiga, mereka juga dibantu oleh beberapa sukarelawan yang terdiri dari ibubapa, guru-guru SKBSB dan pertukaran pelajar dari Perancis serta Jepun yang merupakan peserta AFS.
Sementara itu, Suzanah juga berharap agar program SIR ini dapat diteruskan kerana SKBSB adalah satu-satunya sekolah rendah yang mempunyai program DLP (Dual Language Program) bagi daerah Hulu Selangor.
Beliau berharap program seumpama ini dapat membantu anak-anak di kawasan luar bandar ini menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik.