Satu kerjasama Universiti-Industri bagi melahirkan graduan tersedia industri, pacu industri penternakan ayam negara

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menandatangani satu Memorandum Perjanjian (MoA) bersama QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) menerusi syarikat perniagaan huluannya, Ayamas Integrated Poultry Sdn Bhd (AIPI).

KERJASAMA itu bagi melancarkan program akademik 2u2i pertama bagi industri penternakan ayam melalui program pengajian Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan.

MoA berkenaan telah ditandatangani oleh Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan Kumpulan QSR Brands dan Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor UniSZA.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Work-Based Learning’ atau pembelajaran berasaskan kerja, mod pengajian 2u2i menggabungkan pembelajaran akademik dan latihan industri.

Kerjasama strategik ini memberi peluang kepada para pelajar di dalam program Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan untuk memperolehi pembelajaran secara ‘experiential’ menerusi latihan industri bersama AIPI di ladang ayam pedaging Ayamas Mantin untuk tempoh selama setahun, selepas tiga tahun pengajian akademik.

“Kerjasama ini adalah selaras dengan visi dan misi kami bagi melahirkan graduan berkualiti, dan pada hari ini, kami menumpukan usaha bagi memantapkan industri penternakan ayam – selain bakal turut meningkatkan kebolehpasaran graduan,” kata Prof Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor UniSZA.

QSR Brands merupakan satu-satunya pengendali restoran bersepadu vertikal, yang beroperasi dari ladang ke meja makan (Farm to Fork) di Malaysia.

Perniagaan restoran terkemukanya di sokong oleh operasi huluan yang melibatkan penternakan ayam bersepadu dan segmen operasi sampingan yang membekalkan sumber ayam dan produk makanan lain yang berkualiti, selamat dan terjamin ke semua restoran kendaliannya.

AIPI merupakan syarikat yang bertanggungjawab mengedali kilang ‘feedmill’, penetasan, pembiakan dan ladang ayam pedaging.

QSR Brands komited di dalam melahirkan graduan tersedia industri dan telah menghasilkan sebuah kurikulum industri untuk mendedahkan para pelajar dengan pembelajaran secara ‘experiential’, dilengkapi latihan secara holistik di ladang pembiakan, penetasan, ayam pedaging serta pendedahan mengenai operasi penyembelihan halal dan produksi daripada kilang pemprosesan ayam.

“Sebagai pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini, kami perlu memainkan peranan bagi memacu transformasi dengan menggilap bakat dan tenaga kerja masa hadapan serta menyerlahkan potensi penuh mereka, dengan menyediakan pembelajaran secara ‘experiential’.

Kerjasama strategik ini akan memberi nilai tambah kepada industri penternakan
ayam secara keseluruhan – kerana apabila pelajar-pelajar ini menamatkan pengajian, semua ciri-ciri yang diperlukan oleh industri sudah tersedia,” kata Mohamed Azahari.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini