Program kelestarian yang dijalankan oleh Celcom Axiata Berhad di Tasik Chini telah mendapat pengiktirafan daripada ‘Asia Responsible Enterprise Award’, dalam
kategori ‘Green Leadership’ bagi usaha syarikat tersebut memperkasa komuniti luar bandar dan memastikan kelestarian alam semulajadi.

Asia Responsible Enterprise Awards (AREA) mengiktiraf dan menyokong secara bebas organisasi di seluruh Asia, berdasarkan empat tiang asas, iaitu Alam Sekitar, Amalan yang Adil, Komuniti dan Warga, yang merupakan aspek kritikal dalam matlamatnya untuk mendokong Perusahaan Bertanggungjawab.

Pemenang AREA 2019 telah diumumkan dalam ‘International CSR Summit’ yang
diadakan di Taipei, Taiwan, pada 24 Mei 2019.

Pada Oktober 2018, Celcom telah menjalinkan usahasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam membangun dan melaksanakan rangka kerja kelestarian bagi persekitaran Tasik Chini dan komunitinya, khususnya dalam keterangkuman digital, pengumpulan data, dan e-keusahawanan.

Melalui pusat internet yang dibangunkan oleh Celcom, iaitu ‘Sri Gumum Cyber Cube’, penduduk tempatan dan komuniti orang asli telah mempunyai akses kepada latihan dan sesi perkongsian ilmu serta platform untuk menyertai e-dagang, iaitu dengan memasarkan produk tempatan yang dihasilkan melalui PribumiMall @ DesaMall, sebuah platform atas talian yang disediakan oleh Celcom dan rakan niaganya, 11street.

Dalam memenuhi keperluan untuk menangani isu pelupusan hutan yang menjejaskan kawasan sekeliling, 1,000 pokok baru telah ditanam serta dilabel dengan kod QR, bagi membolehkan rekod informasi secara digital.

 

Ia merupakan sebahagian daripada usaha Celcom untuk membantu Tasik Chini mengekalkan statusnya sebagai Rizab Biosfera UNESCO yang diberikan pada tahun 2009.

Komuniti tempatan, para penyelidik dan pengunjung kawasan tersebut kini beroleh manfaat daripada liputan 4G meluas yang disediakan oleh Celcom, yang turut membantu membolehkan Makmal Eko Hidrologi dan Klimatologi UKM menjalankan kutipan data secara waktu sebenar (Real-time) bagi pemantauan kualiti air di Pusat Pengawasan Tasik Chini.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Idham Nawawi, berkata anugerah tersebut adalah satu lagi kejayaan bagi syarikat tersebut, khususnya kerana projek Tasik Chini merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif dalam menyelaraskan keterangkuman digital dan kelestarian.

“Celcom berbangga menjadi organisasi yang merapatkan jurang digital di antara komuniti luar bandar serta membuka peluang tanpa batas kepada Orang Asli, untuk membolehkan mereka memperbaiki kehidupan dan status ekonomi.

Pada masa yang sama kami teruja kerana dapat menjalankan peranan kami bagi kesejahteraan alam sekitar dengan meluaskan lagi program kelestarian yang kami
laksanakan.

“Kami berharap untuk memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia, sama ada individu mahupun organisasi, untuk memainkan peranan dalam pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini